Pilih Bahasa

SWEPA digalak pelawa ahli promosi produk di Pasar Malam Api-Api

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

 

Christina (tengah) melihat beg yang dibuat daripada jeans oleh wanita luar bandar. – Gambar SNT / Ehsan MTCE

KOTA KINABALU: Peserta Karnival Keusahawanan SWEPA dipelawa untuk berniaga di Pasar Malam Api-Api pada setiap Jumaat dan Sabtu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata para peniaga khususnya usahawan wanita wajar memanfaatkan peluang itu bagi menambah pendapatan mereka.

“Saya menggalakkan SWEPA (Persatuan Usahawan dan Profesion Wanita) untuk mengambil slot lesen niaga di pasar malam Api-Api untuk ahlinya mempamerkan atau menjual produk-produk mereka.

“Ini kerana pasar malam itu yang dibuka setiap minggu selama dua hari menyediakan tempat untuk pengunjung dan pelancong luar negara mendapatkan produk jenama Sabah,” katanya ketik la berucap merasmikan Karnival Keusahawanan SWEPA di Wisma Wanita di sini hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri turut memuji usaha SWEPA yang tidak pernah jemu membantu meningkatkan ekonomi peniaga wanita di Sabah.

Beliau berkata menerusi karnival itu juga wanita dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga sempena cuti sekolah hujung tahun. – SabahNewsToday