Pilih Bahasa

Swepa sasar RM10,000 bantu badan amal

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (Swepa) mensasarkan kutipan amal RM10,000 bagi disalurkan kepada Sabah Autism Society sempena Makan Malam Amal dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Teringgi Swepa Sesi 2019-2021.

Presiden Swepa, Lai Fui Nar berkata dana berkenaan adalah bertujuan membantu persatuan berkenaan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti untuk golongan autism di negeri terbabit.

Lai Fui Nar (enam dari kanan) bersama ahli SWEPA menunjukkan poster Makan Malam Amal dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Teringgi SWEPA Sesi 2019-2021 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Persatuan ini juga masih baru ditubuhkan hampir setahun lalu. Sudah pasti mereka memerlukan kewangan.

“Dalam pada itu, mereka juga sedang menyiapkan sebuah pusat pembelajaran bagi kanak-kanak autism di Taman Salut Perdana dan berharap dana ini dapat membantu meringankan keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media makan malam berkenaan, di sini, hari ini.

Lai Fui Nar (empat dari kanan) ketika sidang media mengenai Makan Malam Amal dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Teringgi SWEPA Sesi 2019-2021 di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Acara terbabit dijangka bakal dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datuk Shuryani Shuaib.

Dihadiri kira-kira 600 tetamu, makan malam terbabit berlangsung di Magellan Grand Ballroom, Sutera Harbour Resort pada 10 November hadapan.

Fui Nar berkata pihaknya sentiasa bekerjasama untuk membantu persatuan, badan amal atau individu yang memerlukan sebagai usaha memberikan kehidupan lebih baik kepada komuniti.

Sementara itu, beliau meminta orang awam terutamanya agensi kerajaan, syarikat korporat dan individu agar memberi sokongan ke atas majlis makan malam amal itu dengan membeli meja. -SabahNews Today