Pilih Bahasa

Syarat ketat untuk pemberian PSS: Amanah Sabah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong keputusan kerajaan untuk mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi menggantikan IMM13 dan kad bancian yang selama ini digunakan oleh warga asing di Sabah.

Pengerusinya, Haris Alimudin berkata
keputusan itu akan membantu kerajaan menangani masalah warga asing yang tidak diketahui jumlah sebenarnya selama ini di samping menamatkan masalah pemalsuan dokumen yang membelenggu negeri ini sejak sekian lama.

Haris Alimudin. Gambar Fail SNT

Bagaimanapun katanya, pemberian PSS perlu dipantau dengan ketat bagi memastikan hanya yang benar-benar layak memperolehinya selain menghadkan pengeluaran PSS kepada warga asing yang sudah berada lama di negeri ini.

“Pemegang PSS hendaklah diberikan syarat ketat sekiranya berlaku perlanggaran syarat dan ketidakpatuhan kepada undang-undang negara, PSS mereka dibatalkan dan individu berkenaan tidak dibenarkan lagi memegang PSS.

“Amanah Sabah berpendapat pemberian PSS ini akan dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh asing terutamanya di sektor perladangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu Haris berkata Amanah Sabah mencadangkan agar satu mekanisma diadakan bagi membolehkan negara memungut cukai dari pemegang PSS yang bekerja dan memperolehi pendapatan di negeri ini di samping bayaran permohonan yang hanya berjumlah RM120 bagi tempoh tiga tahun.

Beliau menambah pemberian PSS buat sementara waktu adalah pilihan terbaik menyelesaikan masalah ‘stateless’ yang selama ini tidak dapat didokumentasikan kehadiran mereka.

Jelas Haris lagi kepentingan dan hak rakyat negeri ini perlu terus diutamakan manakala PSS sewajarnya dilihat sebagai penyelesaian sementara.

Katanya kerajaan disaran memperkenalkan polisi yang mampu menamatkan masalah pendatang asing yang menjadi permasalahan utama di negeri ini.-SabahNewsToday