Pilih Bahasa

Syarikat pelaburan Korea rancang bangunkan Bandar Perubatan di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Syarikat pelaburan antarabangsa Korea menzahirkan hasrat menjalinkan kerjasama dua hala dengan kerajaan negeri dalam usaha membangunkan ‘Bandar Perubatan’ di negeri ini.

Sekiranya pelaburan dianggarkan bernilai kira-kira USD400juta (RM1.62 bilion) itu berjaya dilaksanakan, ia sekaligus menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan-perubatan di rantau ini.

Pengerusi Kumpulan REI Holding Incorporation, Hong Soon Bong (tiga dari kiri) bersalaman dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat dari kanan) pada pertemuan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Pengerusi Kumpulan REI Holding Incorporation, Hong Soon Bong berkata bagaimanapun jangkaan kos bagi projek terbabit bergantung kepada lokasi projek berkenaan dilaksana kelak.

Soon Bong berkata Sabah adalah salah sebuah negeri yang dilihat memiliki potensi untuk menjadi Bandar Perubatan.

Pengerusi Kumpulan REI Holding Incorporation, Hong Soon Bong. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Kita masih menilai pelbagai aspek termasuklah lokasi dan jenis perubatan yang hendak dilaksanakan namun secara keseluruhan mungkin perubatan membabitkan semua aspek amnya.

“Korea memang terkenal dengan industri perubatan dan kita percaya menerusi usahasama ini nanti ia mampu membantu dalam pembangunan ekonomi negeri dalam bidang pelancongan-perubatan,” katanya.

Beliau ditemui ketika sidang media selepas bertemu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), dekat sini, hari ini.

Pengerusi Kumpulan REI Holding Incorporation, Hong Soon Bong (empat dari kiri) bergambar bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat dari kanan) sejurus selesai pertemuan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Turut hadir Pengurus Besar REI Holding Incorporation, Han David Kyunghyun dan Ketua Setiausaha Eksekutif REI Holding Incorporation, Kim Eun.

Sementara itu, Soon Bong berharap perancangan pihaknya itu akan disambut baik oleh kerajaan negeri seterusnya boleh dilaksanakan demi kebaikkan dua belah pihak. -SabahNews Today