Pilih Bahasa

TABIAT MEROKOK KALANGAN ANGGOTA TENTERA PERLU DIBENDUNG

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Tabiat merokok dalam kalangan anggota tentera berupaya mengganggu tahap operasi jika tidak dibendung, kata Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2), Brigadier Jeneral Datuk Zarondin Md Amin.

Beliau berkata ramai anggota tentera yang merokok sedangkan ia adalah amalan tidak sihat ekoran boleh menjejaskan kesihatan fizikal.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2), Brigadier Jeneral Datuk Zarondin Md Amin(tiga dari kiri) melawat pameran yang disediakan Klinik Kesihatan Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Jika tabiat ini tidak dihentikan dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia bukan sahaja mengganggu tahap operasi malah wang turut dibazirkan semata-mata untuk membeli rokok,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Kesedaran Berhenti Merokok anjuran kerjasama Markas ATB2 dengan Kapal Diraja (KD) Sri Tawau serta Klinik Kesihatan Tawau di Dewan Kd Sri Tawau di sini hari ini.

Katanya, forum kesedaran perlu dilaksana ke arah memberi kesedaran kepada warga ATM dan masyarakat awam untuk mengamalkan gaya hidup sihat agar memberi impak positif kepada keamanan negara.

“Siri program kesihatan yang kita laksanakan di Peringkat ATM Zon Tawau, sebelum ini program melibatkan orang awam, tetapi ini kali pertama program yang kita laksanakan di Sabah dan fokus kepada warga ATM sendiri,” katanya.

Anggota tentera menyaksikan beberapa jenis ubat untuk berhenti merokok. Gambar SNT / Ihsan Nasrawati Syarifuddin

Sementara itu Pakar Kesihatan Keluarga, Klinik Kesihatan Tawau, Dr Haryati Hamzah pada majlis itu berkata, tabiat merokok banyak berhubung kait dengan kesihatan mental yang membabitkan tahap pengurusan stres.

“Kita tidak ada statistik menunjukkan kakitangan ATM ini mempunyai masalah stres tetapi boleh agak dari segi bebanan kerja dan bekerja lebih masa, jadi kita anggapkan bahawa memang kadar stres di sini agak tinggi.

“Sebab itu kita nampak juga dalam kalangan kakitangan ATM ini ramai yang merokok, jadi rokok dengan stres memang tidak dapat dipisahkan, sebab itu kita selitkan dalam pengurusan stres supaya mereka dapat menguruskan stres dengan sendiri,”katanya.

Bagaimanapun Dr. Haryati berkata setiap pekerjaan juga mempunyai masalah stres atas faktor-faktor bebanan kerja tetapi bagi golongan tentera faktor persekitaran kerja melibatkan pelbagai aktiviti-aktiviti fizikal sebenarnya memberi stres.

“Kalau kita nampak sekarang ini pun tentera sekarang ini sudah memiliki berat badan yang meningkat, mungkin sebab faktor pemakanan sebab ada sesetengah makanan memberi stres kepada badan kita sebenarnya,”katanya.

Pada forum itu telah mengumpulkan semua warga ATM Zon Tawau untuk bersama-sama mendengarkan kupasan daripada panel jemputan dari Klinik Kesihatan Tawau.

Pegawai Perubatan ATB2, Kapt. (Dr.) Muhamad Azrul Zakaria berkata, program itu dapat memberi kesedaran kepada anggota tentera mengenai kesan negatif merokok kepada diri sendiri dan orang sekeliling.

“Kita berpuas hati kerana program kali ini mendapat sambutan menggalakkan dan diharapkan dapat memberi kesedaran seperti yang diharapkannya,”katanya. – SabahNewsToday