Pilih Bahasa

Tabung darah hospital perlu sekurang-kurangnya 6,000 pain darah sebulan

Oleh Alfred Petrus

Frankie (kiri) beramah mesra dengan penderma yang hadir menderma darah di Jabatan Perubatan Transfusi HQE Dua. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disarankan sentiasa bekerjasama dengan pihak hospital untuk mengadakan lebih banyak kempen kesedaran derma darah.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata usaha berkenaan bagi menampung keperluan darah di tabung darah, Jabatan Perubatan Transfusi Sabah.

“Hospital kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 6,000 pain darah sebulan yang mana 2,000 pain darah itu diperlukan oleh pesakit Talasemia.

“Kita (hospital) juga mengalami kekurangan darah sebanyak 20 peratus setiap kali musim perayaan seperti pada bulan puasa, Tahun Baharu Cina mahupun pada penghujung tahun iaitu pada cuti sekolah.

Frankie (lima dari kanan) merakamkan gambar bersama para penderma darah semasa pelancaran Kempen Derma Darah DAP di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dua. – Gambar SNT/Alfred Petrus

“Ini disebabkan kurangnya penderma tanpil untuk menderma darah walaupun kita mempunyai penderma yang sentiasa datang untuk menderma setiap tiga bulan,” katanya ketika ditemui pada Pelancaran Kempen Derma Darah DAP di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dua, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Tan Lee Fat dan Adun Kapayan, Jannie Lasimbang.  

Jelasnya NGO seperti Rotary Club, Lion Club serta NGO yang lain boleh bersama-sama pihak hospital menyebar luas kesedaran kebaikan menderma darah kepada masyarakat.

Frankie (tengah) bersama para jawatankuasa penganjur semasa pelancaran Kempen Derma Darah DAP di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dua. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau yakin melalui kerjasama pelbagai pihak terutamanya NGO di seluruh negeri mampu menarik lebih ramai penderma darah sedar akan manfaat menderma darah terhadap diri dan juga mereka yang lebih memerlukan.

“Saya yakin derma darah ini akan menyelamatkan nyawa jiran anda dan juga anda sendiri sekiranya semua masyarakat tampil secara sukarela untuk menderma.

“Saya juga menggalakkan pihak hospital untuk mencari cara bagaimana untuk menarik lebih ramai penderma darah dan menyebarkan kebaikan kempen itu kepada masyarakat,” katanya. – SabahNewsToday