Pilih Bahasa

TABUNG MASJID SEKOLAH DILARIKAN PENCURI

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Dua lelaki yang tidak diketahui identitinya memasuki Masjid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau dan melarikan dua peti tabung masjid, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian ini berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pukul 2.10 pagi yang dipasang di Makmal Komputer sekolah berkenaan dan menghala ke masjid itu.

Tabung yang dikosongkan oleh dua orang pencuri ditinggalkan di luar pagar sekolah. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati, suspek dipercayai menggunting pagar belakang sekolah untuk masuk ke dalam kawasan masjid sebelum mengambil dua peti tabung yang diletakkan di bahagian luar masjid.

“Kedua-dua suspek kemudian membuka tabung tersebut di tepi pagar kawasan belakang masjid sebelum bergegas melarikan diri melalui lubang pagar terbabit.

“Kejadian itu berjaya dirakam CCTV daripada makmal komputer sekolah yang menghala ke kawasan hadapan masjid.

“Jarak makmal sekolah dengan masjid kira-kira 30 meter dan suspek melarikan wang tunai dianggarkan bernilai RM300,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, rakaman CCTV itu juga menunjukkan kedua-dua suspek menutup bahagian muka dan memakai sarung tangan ketika mencuri.

“Kes disiasat dibawah seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah malam,”katanya. – SabahNewsToday