Pilih Bahasa

Tafsiran berbeza dari pelbagai pihak tentang kenyataan Madius

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kenyataan Timbalannya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam laman sosial miliknya telah mendapat tafsiran berbeza dari pelbagai pihak.

“Beliau hanya menyatakan kemungkinan pemimpin perlu menunjukkan contoh yang terbaik namun mungkin sudah tentu ada tafsiran berbeza daripada pelbagai pihak,” jelas Mohd Shafie.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menandatangani plag perasmian pembukaan Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian ketika sidang media sewaktu ditanya mengenai kenyataan Madius dalam laman sosial Facebook peribadinya yang membuat perbandingan antara pemimpin kerajaan negeri sekarang dengan pemimpin “38 tahun lalu” ketika membuat melawat ke Tambunan.

Dalam laman Facebook beliau, Madius menulis “38 tahun lalu, seorang pemimpin Kerajaan Negeri Sabah berada di Tambunan mengadakan ucapara pengislaman beramai-ramai. Ramai yang terpaksa ikut kerana pelbagai ugutan seperti tidak masuk Islam tidak dapat Tanah, tidak dapat kerja dan pelbagai lagi ugutan.”

Kenyataan Madius seterusnya: “Pada kali ini seorang Ketua Menteri Sabah, beragama Islam, datang ke Tambunan bukan untuk memaksa orang masuk agama tetapi memberi peruntukan sebanyak RM1Juta untuk membaiki Gereja. Diatas berkat Tuhan ini kita bersyukur dan terus berdoa semoga perpaduan, semangat hormat menghormati terus terpelihara di Tanah Air tercinta ini.”

Kenyataan tersebut berikutan lawatan Mohd Shafie berserta beberapa ahli jemaah menteri Sabah ke Tambunan baru-baru ini di mana Ketua Menteri antara lain mengumumkan dana RM1 juta daripada Kerajaan Negeri untuk membantu membina bangunan Gereja St Theresa yang baharu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata perkara utama sekarang adalah semua harus maju dan pandang ke hadapan.

“Semua pihak seharusnya bersama kerajaan bagi memajukan negeri berkenaan dan bukannya menimbulkan aura negatif terutamanya berkaitan perbezaan bangsa dan agama yang boleh membawa kepada perpecahan kaum.

“Saya cuma mengharapkan kita dapat bersama bangunkan negeri ini kerana keutamaan yang diinginkan rakyat sekarang mahu kerajaan baru membawa perubahan dalam pentadbiran dan bukannya bergaduh sesama sendiri.

“Pergaduhan adalah isu tidak berpenghujung dan sejarah sudah membuktikannya Hampir separuh usia kita juga melihat kepada perkara itu (perbalahan kaum), jika kita masih banyak melihat ke arah itu, pastinya sukar untuk kita dapat capai apa yang anak-anak dan generasi akan datang mahukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata seluruh negeri meraikan semua perayaan saban tahun dan hal ini menunjukkan rakyat di Sabah hidup dalam keharmonian serta saling menghormati.

Menurutnya, kerajaan tidak melihat perbezaan kaum mahupun agama dalam soal pemberian peruntukkan.

“Sama seperti penyaluran peruntukkan kepada masjid, kita berikan ia kepada gereja kerana kaum beragama Kristian juga mengundi kita (jadi kerajaan),” jelasnya.

Kenyataan Madius itu didakwa oleh sesetengah pihak sebagai menyentuh sensitiviti kaum dan agama

Terdahulu dilaporkan sekumpulan individu termasuk pemimpin politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung kenyataan Madius pada 22 Julai lalu manakala polis Sabah sudah membuka kertas siasatan berikutan laporan polis yang dibuat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan. -SabahNews Today