Pilih Bahasa

Tagal Hutan Komuniti Kampung Kiau terima dana RM500 ribu dari Kerajaan Negeri

KOTA BELUD: Kerajaan negeri memberikan geran dana sebanyak RM500,000 kepada Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semulajadi Kg Kiau Nuluh (GOMPITO) bagi melestarikan tagal hutan komuniti dan pembangunan pelancongan kampung itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berharap geran tersebut dapat digunakan sebaiknya untuk membangunkan kemudahan di pusat-pusat pelancongan Kg Kiau secara gotong-royong bagi memberi keselesaan kepada para pelancong.

Ewon memasukkan padi ke dalam tangkob (tempat penyimpanan padi) sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Kampung Kiau. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata, pelaksanaan tagal hutan komuniti mampu menjadi tarikan pelancong dan menjana pendapatan komuniti kampung jika diurus dengan baik.

“Pemilikan, pembangunan dan pelestarian tanah adat melalui konsep tagal hutan komuniti boleh dilaksanakan dan sangat dialu-alukan oleh Kerajaan.

“Di Kg Kiau, seluas 1,200 ekar kawasan daripada Taman-Taman Sabah telah dikeluarkan dan diserahkan kepada penduduk Kg Kiau kerana itu merupakan tanah adat mereka sejak dari dulu.

“Bagi melestarikan kawasan ini, penduduk kampung telah bersetuju menubuhkan pemegang amanah dan seterusnya memperkenalkan tagal hutan komuniti yang dibangunkan sebagai pusat eko pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Kamping Kiau, di Dewan Budaya Kiau Nuluh, di sini, hari ini.

Ewon menyampaikan hadiah kepada pelajar cemerlang dari Kampung Kiau. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian beharap lebih banyak kampung luar bandar di negeri ini dapat menggunakan pendekatan tagal hutan komuniti sebagai salah satu bentuk urustadbir tanah adat seperti tagal sungai yang boleh dibangunkan menjadi pusat tarikan pelancong.

“Pada tahun lepas, saya telah menjemput YAB Ketua Menteri untuk singgah ke kampung ini dalam perjalanan beliau ke program Pesta Kubis Kundasang bagi melihat potensi pelancongan di Kg Kiau yang sedang berjalan dan juga pusat keusahawanan berasaskan nenas. YAB Ketua Menteri telah bersetuju kepada permohonan kami bagi membantu pembangunan pelancongan di tagal hutan komuniti.

“Saya telah menyusuli kelulusan-kelulusan tersebut dan hari ini geran dana sebanyak RM500,000 telah diterima oleh GOMPITO dan RM100,000 lagi diterima oleh Koperasi Konduan Kiau Nuluh untuk membiayai keperluan kelengkapan tambahan di pusat pemprosesan nenas Kg Kiau Nuluh.

“Ini merupakan penghargaan dan sokongan besar Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal selaku Ketua Menteri,” kata Ewon.

Ewon turut menegaskan bahawa orang luar tidak boleh memohon mana-mana tanah dalam kawasan DUN Kadamaian.

“Saya tidak mahu orang luar memohon mana-mana tanah dalam kawasan DUN Kadamaian. Ini adalah pendirian tegas saya selaku Wakil Rakyat yang telah saya sampaikan kepada Jabatan Tanah dan Ukur serta Pejabat Daerah Kota Belud kerana saya dimaklumkan ada orang luar yang cuba memohon kawasan yang telah dikeluarkan oleh Taman-Taman Sabah kepada penduduk Kg Kiau.

“Sebagai Wakil Rakyat Kadamaian, saya akan menjadi benteng pertama yang akan membantah sebarang permohonan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, aspirasinya adalah untuk membangunkan kawasan Kadamaian berasaskan kepada dua sektor utama, iaitu pelancongan dan pertanian yang disokong dengan jaringan kemudahan asas yang baik dan aktiviti-aktiviti keusahawanan desa.

“Sebab itu, saya berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah dan rakan-rakan pimpinan dalam Kerajaan yang turut berkongsi aspirasi ini. Ketua Menteri sendiri sudi memenuhi jemputan saya untuk berkunjung singgah ke kampung ini dan seterusnya menyampaikan dana geran yang besar ini.

“Saya akan terus berusaha dan bekerja mencapai lebih banyak kemajuan untuk kawasan Kadamaian. Ini termasuklah pelaksanaan Kajian Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dengan kerjasama Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian, Pejabat UPPM Kadamaian dan Pejabat Daerah Kota Belud.

“Saya mengguna peruntukan touchpoints selaku ADUN Kadamaian bagi membiayai kajian tersebut yang akan mengambil masa selama enam bulan,” katanya.

Ewon berharap dengan adanya kajian demikian akan dapat mencakupi aspirasi keseluruhan komuniti di Kadamaian dan memudahkan pelaksanaan pembangunan melibatkan Kerajaan dan pelbagai rakan strategik lain.

Mengenai sambutan Pesta Kaamatan di kampung itu Ewon berkata, ia lebih bermakna pada tahun ini kerana selain menerima geran dana pembangunan pelancongan dan tagal hutan komuniti, beberapa projek kecil pembangunan telah dilaksanakan dalam tempoh setahun selepas beliau menjadi Wakil Rakyat.

“Antaranya empat jalan konkrit baru, satu jalan pertanian baru, satu gimnasium rakyat, satu jambatan gantung, sebuah pondok bas sekolah dan Dewan Budaya yang dilaksanakan di bawah peruntukan khas saya.

“Pada hari ini, konsep tuaian kejayaan tidak hanya mencakupi hasil pertanian tetapi juga hasil kejayaan dalam bidang pembangunan, kerjaya, perniagaan, keusahawanan, pendidikan, keluarga dan sebagainya.

“Paling utama ialah tuaian perpaduan dan kerjasama yang memungkinkan lebih banyak kejayaan lain dapat dicapai. Saya mendoakan Kg Kiau akan terus berjaya dan cemerlang,” katanya.

Dalam majlis ini, Ewon turut menyampaikan baucer pembayaran geran dana RM500,000 kepada Pengerusi GOMPITO, Justin Dalansu serta anugerah kecemerlangan akademik kepada para pelajar cemerlang Kg Kiau di peringkat UPSR, PT3 dan SPM pada tahun lepas.

Selain itu beliau juga melancarkan Persatuan Kebudayaan Kiau dan buku “Sejarah dan Sistem Kehidupan Tradisional Dusun Kiau” yang diterbitkan oleh GOMPITO.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kota Belud Peter Jiton, Pengurus Taman Kinabalu Yassin Miki, Timbalan Pengurus Besar Koperasi Pembangunan Desa Rainal Lasumin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis, Setiausaha Perhubungan KPLB Sabah Charles Dalansing dan Wakil Ketua Anak Negeri Mukim Kiau Kasimin -SabahNewsToday