Pilih Bahasa

Tahap kebersihan pulau peranginan di Sabah baik: Christina

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Dakwaan pihak luar bahawa kebersihan di pulau-pulau peranginan di negeri ini seolah-olah diabaikan adalah tidak benar dan sama sekali tidak berasas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata apa yang dilaporkan dalam media cetak atau media sosial mengenai keadaan kebersihan pulau peranginan termasuk kemudahan asas di situ tidak menggambarkan situasi sebenar.

Christina (dua dari kanan) berbual dengan pelancong luar negara semasa melakukan lawatan ke Pulau Manukan, Sapi dan Mamutik. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Christina menegaskan kerajaan negeri menerusi Taman-Taman Sabah (TTS) sangat mengambil berat aspek kebersihan di pulau-pulau tersebut.

“Saya sangat gembira melawat Pulau Manukan, Pulau Gaya dan Pulau Sapi hari ini dan agenda utama kita datang ke sini untuk melihat keadaan di tiga pulau itu kerana terdapat aduan bahawa banyak sampah sarap.

“Kerajaan mengambil serius laporan itu dan jika benar apa yang dikatakan sangat kotor dan tidak mengikut standard kebersihan, kita akan mengambil tindakan.

“Bagaimanapun selepas melakukan pemeriksaan di tiga pulau tersebut saya berpuas hati dengan keadaan kebersihan di situ,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut di tiga pulau berkenaan di sini hari ini.

Dalam pemeriksaan itu Christina merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut diiringi oleh Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais.

Christina berkata renjer TTS menjalankan kerja pembersihan setiap hari di pulau-pulau dibawah seliaan agensi itu dan mengadakan pemantauan sepanjang masa memandangkan pulau peranginan di Sabah menerima kunjungan lebih 1,000 pelancong setiap hari.

“Pelancong yang datang ingin menikmati keindahan pantai serta menggunakan kemudahan seperti tandas yang selesa dan jika disebabkan masalah kebersihan boleh membawa impak negatif, ia adalah perkara yang harus kita ambil serius,” katanya.

Menurut beliau kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk menghadkan kuota jumlah kehadiran pelancong ke sesebuah pulau dalam satu-satu masa.

Jelasya jumlah pelancong yang terlalu ramai atau melebih kapasiti akan menjejaskan keadaan sesebuah pulau itu dan boleh `membunuh’ industri pelancongan negeri itu. – SabahNewsToday