Pilih Bahasa

TAK SEMPAT HABISKAN ACARA 200 METER

Oleh Mohd Nazllie Zainul

LABUAN: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat di salah sebuah sekolah menengah, dekat sini, tidak sedarkan diri ketika menyertai salah satu acara sukan di Komplek Sukan Kolej Matrikulasi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha, Norsahfiza Jaratin, 16, dipercayai mengikuti acara larian 200 meter bagi aktiviti sukan tahunan sekolah terbabit.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai terjatuh kira-kira 20 meter sebelum sampai ke garisan penamat dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata seorang guru wanita yang berada berhampiran mangsa memberikan pertolongan awal kecemasan dan seterusnya menghubungi ambulan agensi Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan Labuan bagi membawa mangsa ke Hospital Nukleus bagi pemeriksaan lanjut.

“Namun pegawai perubatan hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Berikutan kejadian itu, pengetua sekolah berkenaan hadir membuat laporan polis di  Balai Polis Bebuloh untuk memberikan keterangan dan ibu bapa mangsa juga sudah dimaklumkan berkaitan perkara ini,” katanya.-SabahNews Today