Pilih Bahasa

Taktik baharu juragan seludup tong gas LPG

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Antara tangkapan yang dijalankan Pasukan Polis Marin Tawau. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Taktik terbaharu penyeluduk bagi mengelak dikesan pihak berkuasa kini adalah berulang alik sebanyak 10 kali sehari antara tanah besar Tawau ke Pulau Sebatik, Indonesia dengan muatan hanya dua atau tiga tong gas petroleum cecair (LPG) kononnya untuk kegunaan sendiri.

Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata modus operandi berkenaan digunakan dengan alasan tong gas LPG itu hanya digunakan untuk tujuan bekalan harian di rumah namun sebaliknya dijual untuk keuntungan diri sendiri. 

“Juragan bot akan membawa keluar dua atau tiga tong gas lpg keluar daerah ini dengan lebih kerap dan mengaku bahawa tong gas itu untuk kegunaan sendiri.

Antara hasil operasi yang dijalankan Pasukan Polis Marin Tawau. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

“Jika juragan bot berulang alik Tawau ke Indonesia sebanyak 10 kali, bermakna lebih daripada 20 tong gas LPG yang berjaya diseludup ke negara luar dalam tempoh sehari dan ia bukan untuk kegunaan sendiri tetapi untuk dijual kepada penduduk. 

“Bagaimanapun kita ada perancangan tersendiri bersama pihak KPDNHEP bagi menangani masalah berkenaan iaitu dengan cara merekod identiti individu yang membawa tong gas berkenaan. Jika individu itu kerap keluar negara membawa tong gas lpg berkenaan, maka ia akan ditahan kerana melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Markas Operasi PPM Tawau di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau, Yapp Kon Fatt berkata tong gas LPG memiliki permintaan yang tinggi di negara jiran terutama Indonesia kerana harga tong gas lpg di negara itu lebih mahal berbanding di Sabah.

Seludup keluar dua hingga tiga tong gas dengan 10 kali perjalanan sehari menjadi taktik terbaharu individu untuk mendapatkan keuntungan. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

Namun katanya pihak KPDNHEP berjaya mengurangkan tangkapan barangan kawalan selepas sebuah agen syarikat sudah dilantik kira-kira tiga bulan lalu. 

“Kita ada lantik satu agen syarikat pemborong yang dibenarkan untuk membekalkan gas tidak bersubsidi yang menggunakan tong gas berwarna ungu. 

“Namun harga tong gas LPG itu juga lebih mahal berbanding tong gas yang dijual di Malaysia dengan harga anggaran RM60 hingga RM65 untuk setiap satu unit,” jelasnya. – SabahNewsToday