Pilih Bahasa

Taktik penjual sembunyi rokok dalam almari pakaian gagal

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Rokok pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam almari jualan pakaian dirampas pihak berkuasa. – Gambar SNT/Ihsan Batalion 20 PGA

SANDAKAN: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menghidu taktik penjual rokok menyembunyikan 224 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM38,634 di dalam almari jualan pakaian terpakai di Pasar Tamu Gum Gum Batu 16 di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu pihaknya menjalankan serbuan selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti penjualan rokok seludup di lokasi berkenaan.

“Ketika tiba di lokasi, kelihatan penjual rokok bertindak melarikan selepas menyedari kehadiran pihak polis.

Semua rokok berkenaan dirampas oleh anggota PGA Sandakan. – Gambar SNT/Ihsan Batalion 20 PGA

“Kita kemudian membuat pemeriksaan di sekitar pasar tamu dan menjumpai lapan bungkusan plastik besar berwarna hitam dan satu bakul berisi plastik kecil berwarna merah yang disyaki ditinggalkan oleh suspek di dalam almari menjual pakaian terpakai.

“Pemeriksaan lanjut di dalam plastik terbabit, kita menemukan 224 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM38,634 dan wang tunai disyaki hasil jualan rokok ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua barangan terbabit kemudian dirampas dan disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. – SabahNewsToday