Pilih Bahasa

TAMAN HIDUPAN LIAR LOKAWI PERLU DIBAIKI: ADUN PETAGAS

Oleh Datu Ruslan Sulai

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai ketika membuat lawatan kerjanya di Taman Hidupan Liar (THL) Lok Kawi. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

PUTATAN: Prasarana Taman Hidupan Liar (THL) Lok Kawi perlu ditambah baik dalam usaha memartabatkan destinasi berkenaan yang disifatkan sebagai salah satu mercu tanda dan mampu meningkatkan industri pelancongan ala ‘Safari’ di daerah ini.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Uda Sulai berkata, ini memandangkan situasi lokasi tersebut kini amat menyedihkan kerana timbulnya beberapa isu seperti kekurangan kakitangan, infrastruktur dan sistem perpaipan yang tidak tersusun sehingga sedikit sebanyak menjejaskan lokasi yang terkenal di negeri Sabah itu.

Beliau berkata, sudah sampai masanya semua pihak untuk membuka mata dan membantu dalam usaha mengekalkan tumpuan pelancongan berkenaan sekaligus menaik taraf THL Lok Kawi yang juga menempatkan pusat penyelidikan serta rawatan kepada haiwan liar tersebut.

Uda menambah, ada beberapa isu yang harus mendapat perhatian semua pihak seperti aspek penjagaan 14 ekor gajah di THL di mana setakat ini, lokasi berkenaan hanya dapat menyediakan seramai lima penjaga dan ianya tidak menepati piawaian antarabangsa yang memerlukan sekurang-kurangnya dua kakitangan bagi setiap seekor gajah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas, Uda Sulai ketika membuat lawatan kerjanya di Taman Hidupan Liar (THL) Lok Kawi. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

“Beberapa isu dan masalah di THL ini amat menyedihkan saya apabila perkara-perkara itu sudah berlarutan sejak sekian lama,” kata Uda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas.

“Antara permasalahan yang menjadi perhatian adalah kurangnya kakitangan di mana THL ini hanya dikendalikan seramai 39 kakitangan sahaja dan apa yang membimbangkan adalah ada di kalangan mereka akan berpencen tidak lama lagi.

“Melihat kepada isu penjagaan gajah di THL ini juga amat mendukacitakan pihak kita selepas saya dimaklumkan bahawa mereka hanya ada lima pekerja sahaja untuk mengendalikan 14 ekor gajah setiap hari berbanding standard prosedur yang menghendaki dua pekerja untuk seekor gajah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerjanya di THL Lok Kawi, Putatan, hari ini.

Hadir sama adalah Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Agustine Tuuga dan Pegawai Perhubungan Awam JHL Sabah, Siti Nur’Ain Ampuan Acheh.

Mengulas lanjut, Uda yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah itu berkata, pihaknya akan membawa perkara berkenaan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk tindakan lanjut dalam memastikan THL terus ‘hidup’ serta menjadi tarikan kuat pelancong di daerah Putatan dari semasa ke semasa.

“Kita akan membawa permasalahan-permasalahan yang berlaku di THL ini kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah supaya ianya tidak berlarutan kerana saya bimbang jika dibiarkan, haiwan-haiwan di lokasi ini akan terjejas.

” Saya mahu THL ini beroperasi dengan lebih baik di masa hadapan dan kita juga mempertimbang untuk memperhebatkan promosi lokasinya dengan meletakkan papan-papan tanda di kawasan strategik seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Pekan Putatan dan lain-lain, “katanya.

Untuk rekod, THL menempatkan 70 spesis burung, 30 spesis mamalia dan 13 spesis reptilia itu diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah (untuk botani) dengan menyaksikan keluasan 280 ekar yang terletak di bawah pentadbiran Daerah Putatan.-SabahNewsToday