Pilih Bahasa

Taman Marin Tunku Abdul Rahman lokasi tumpuan pelancong di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 4 Jun (Bernama) — Terletak tidak jauh dari pusat bandar Kota Kinabalu, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), meliputi lima pulau yang menjadi lokasi tumpuan pelancong, boleh dikunjungi dengan menaiki bot hanya mengambil masa 20 minit.

Pelancong boleh memilih untuk beriadah di lima pulau yang ada di taman marin ini iaitu Manukan, Mamutik, Sulug, Gaya dan Sapi.

Gambar Bernama

Berdasarkan statistik Taman-Taman Sabah (TTS), dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sejumlah 39,204 orang berkunjung ke taman marin itu, terdiri daripada pelancong asing (22,600 orang) manakala pelancong tempatan (16,604 orang).

Sepanjang tahun lepas, seramai 564,081 pelancong mengunjungi taman marin berkenaan iaitu 394,222 pelancong asing dan 169,859 pelancong tempatan.

Bagi pelancong yang ingin berkunjung ke lima pulau yang terdapat di taman marin itu, perkhidmatan bot penumpang disediakan di Jeti Jesselton Point di pusat bandar selain beberapa jeti pusat peranginan yang terdapat berhampiran pusat bandar.

Mempunyai keluasan kira-kira 4,929 hektar, Pulau Gaya dan Pulau Sapi diwartakan sebagai TTAR, mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia Pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pada 1974 manakala Pulau Manukan, Mamutik dan Sulug pula pada 1979.

Antara lima buah pulau itu, Pulau Gaya adalah pulau paling besar dengan keluasan kira-kira 1,465 hektar malah mempunyai beberapa buah kampung dan balai polis manakala Pulau Mamutik pula pulau terkecil.

Meskipun kecil namun di Pulau Mamutik pelancong boleh melihat habitat beberapa jenis ikan seperti Sergeant Major, Parrot Fish, Butterfly Fish dan Angel Fish.

— BERNAMA