Pilih Bahasa

Taman-Taman Sabah perkenal produk pelancongan melalui kerjasama syarikat tempatan, luar negara

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Mohd Amin (tengah) bersama tetamu ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Taman-Taman Sabah di Semporna. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Taman-Taman Sabah (TTS) kini dalam usaha untuk menawarkan kerjasama dengan beberapa buah syarikat tempatan atau luar negara bagi mengetengahkan produk pelancongan di bawah kendaliannya.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS, Mohd Amin Abd Mem berkata agensi itu mampu menjadi salah satu pemain industri pelancongan penting di Sabah yang lebih mantap jika berganding bahu dengan syarikat dalam dan luar. 

Beliau berkata kini banyak syarikat yang berkeinginan melakukan usaha sama dengan TTS sehingga ada yang datang sendiri ke pejabat mengemukakan pelan dan proposal perancangan masing-masing termasuk syarikat dari luar.

“Untuk pelancongan infrastuktur kita sudah sedia ada dengan syarikat lama namun kita akan tawarkan kepada syarikat lain yang berminat untuk mengembangkan perusahaan penginapan ke arah menambah baik perkhidmatan.

“Namun kita memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan akan mencari kaedah supaya syarikat tempatan lebih banyak terbabit dalam usaha itu sebagai proses membantu rakyat,” katanya ketika ditemui dalam majlis Sambutan Hari Raya TTS di Semporna di sini hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata TTS yang mengoperasikan sembilan taman termasuk enam taman marin di negeri ini juga dalam usaha memperkenal beberapa produk pelancongan melalui sistem penyelidikan dan kajian penemuan baru sebagai aset.

“Antara produk pelancongan yang boleh diketengahkan di negeri ini adalah pusat pemuliharaan kupu-kupu di Ranau yang ada lebih 80 spesis, Taman Orkid yang mempunyai lebih 2,000 spesis dan penyelidikan bunga Rafflesia,” jelasnya. – SabahNewsToday