Pilih Bahasa

Tambadau akan beri saingan kepada Perak

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Walaupun perlawanan menentang Perak malam ini hanyalah pelengkap jadual namun skuad Tambadau Sabah tidak mahu menyerah kalah dengan mudah.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony berkata ianya tugas pasukan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

“Tugas menentang Perak esok (malam ini) juga sama walaupun perlawanan terakhir itu hanya pelengkap jadual kerana kita sudah terkeluar dari persaingan ke suku akhir.

“Bermain dalam perlawanan yang kita tiada rugi apa-apa bukan bermakna pemain boleh sambil lewa. Dalam situasi seperti inilah penting untuk pemain menunjukkan sikap yang betul dan saya berharap dapat melihatnya esok,” katanya.

Sabah menutup tirai kempen Piala Malaysia peringkat kumpulan C dengan menentang juara bertahan Perak di Stadium Likas jam 9 malam ini.

Keadaan berbeza bagi Perak kerana mereka memerlukan sekurang kurangnya satu mata dalam perlawanan terakhir kumpulan sebagai jaminan pasti, mengiringi Pahang mewakili Kumpulan C ke suku akhir.

Pahang sudah mengesahkan tempat selepas meraih 12 mata dari empat perlawanan pertamanya meninggalkan baki satu tempat menjadi rebutan antara Perak di kedudukan kedua dengan lapan mata dan Pulau Pinang di kedudukan ketiga dengan lima mata.

Sabah yang kini di kedudukan tercorot masih berperanan menjejaskan peluang Perak.

Para pemain bersama jurulatih-jurulatih yang diketuai oleh Jelius Ating bergambar kenangan selepas latihan bagi menghadapi perlawanan terakhir musim ini. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Kalau pemain ada sikap yang betul, saya percaya Perak tidak akan dapat laluan mudah kerana kita mahu pemain melaksanakan tugas memburu kemenangan.

“Ia juga sesuatu yang baik jika kita mencatat penamat menang. Ini juga peluang terakhir pasukan membuktikan tahap mereka bersaing dengan pasukan Liga Super dan  peluang terbaik juga untuk pemain membuktikan kemampuan agar terus berada dalam perancangan pasukan menghadapi Liga Super musim depan” kata Peter.

Sementara itu Ketua Jurulatih, Jelius Ating akan menurunkan kesebelasan sama sebagaimana ketika menumpaskan Pulau Pinang 2-0, Sabtu lalu.

Jelius memberi kata-kata kepada para pemain dalam sesi latihan petang kelmarin. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Kalau ada perubahan pun mungkin antara Rahman Shah Marajeh dan Aguinaldo Mendes. Saya masih mempertimbangkan siapa di antara dua penyerang ini akan bermula sebegai kesebelasan utama. Pemain lain tiada perubahan buat masa ini.

“Apa pun, siapa juga disenaraikan, saya percaya mampu menggalas tugas memburu kemenangan. Kami akan cuba yang terbaik,” kata Jelius ketika ditemui semasa mengendalikan latihan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu semalam.

Kesebelasan kemungkinan Sabah ialah Rozaimi Rohim, Rawilson Batuil, Park Tae Su, Randy Baruh, Evan Wensley, Mohd Azizan Nordin, Mafry Balang, Alto Linus, Maxsius Musa, Rodoljub Paunovic dan Rahman atau -SabahNewsToday