Pilih Bahasa

Tambadau bangkit tewaskan PDRM 2-1; Alto Linus muncul wira

Oleh Chris Maskilone

MELAKA: Tambadau Sabah bangkit dari belakang untuk menewaskan PDRM 2-1 dalam aksi Liga Premier Malaysia di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini tadi.

Pemain lincah di bahagian sayap kanan, Alto Linus sekali lagi muncul wira bagi Tambadau menjaringkan gol kemenangan lapan minit sebelum perlawanan tamat.

Alto Linus, penjaring gol kemenangan Tambadau menentang PDRM di Stadium Hang Jebat, Krubong Melaka pada Rabu malam. Gambar Fail SNT

Tiga mata penuh yang dikutip memastikan skuad Tambadau Sabah kini  menjadi pendahulu liga memintas JDT II yang sekadar seri 1-1 dengan Kelantan kelmarin.

Namun, di Stadium Hang Jebat, Sabah ketinggalan 1-0 pada minit ke-33 apabila PDRM atau dikenali sebagai The Cops berjaya memecah kebuntuan menerusi sepakan percuma pemain dari Korea, Lee Chang-Hoon.

Tambadau Sabah cuba mencari gol penyamaan tetapi percubaan mereka hampa.

Pada babak kedua, anak buah Jelius Ating mengubah rentak untuk mengejar The Cops dan akhirnya membawa hasil melalui Rodoljub Paunovic pada minit ke-76.

Enam minit kemudian, skuad Tambadau menarik nafas lega dan meraikan gol kemenangan daripada Alto.

Semasa menentang Negeri Sembilan di Stadium Likas Sabtu lalu, Alto juga telah menjaringkan gol tunggal perlawanan yang juga jaringan kemenangan untuk Sabah.

Empat kad kuning dilayangkan oleh pengadil perlawanan Razlan Joffri Ali iaitu dua kepada PDRM – Stuart Wark dan Uche Agba dan dua lagi kepada pemain Sabah – Mafry Balang serta Ahmet Atayev.

Sabah kini memgumpul 31 mata dari 15 perlawanan manakala JDT II ketinggalan satu mata setelah mengharungi 16 perlawanan.-SabahNewsToday