Pilih Bahasa

Tambadau benam Felda United 3-1 untuk kemenangan pertama CIMB Liga Super

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah catat kemenangan pertama dalam CIMB Liga Super Malaysia apabila membenam Felda United FC 3-1 di Stadium Likas di sini malam tadi.

Lebih kurang 5,000 penyokong Sabah yang berada di Stadium Likas berpuas hati dengan persembahan cemerlang pasukan mereka, yang juga adalah permainan pertama Liga Super di gelanggang sendiri.

Paunovic memeluk Shitembi meraikan gol pertama Sabah pada minit ke-11. Gambar SNT/Ihsan Safa

Paling mencuri tumpuan ialah pemain import baharu Sabah, Petrus Shitembi yang kemudian dinamakan sebagai ‘Player of the Match’.

Gerakan menarik pemain utiliti berasal dari Namibia itu berhasil mengucar-kacir pertahanan Felda United FC dan turut membantu mencipta ketiga-tiga gol Tambadau.

Gol pertama Sabah hadir pada minit ke-11 melalui glancing header penyerang Rodoljub Paunovic yang gagal dikawal oleh pertahanan Felda United melalui tendangan sudut dari sebelah kiri yang diambil oleh Shitembi.

Park Taesu (kiri) bersama Mohd Azwan Abdul Fattah meraikan gol kedua Sabah. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada minit ke-38, sekali lagi Shitembi mengambil tendangan sudut dari sebelah kiri dan kali ini dihalakan ke far post di mana Park Taesu menanti untuk menanduk bola masuk menewaskan penjaga gol Felda United Mohd Muhaimin Mohamad.

Kedudukan kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Pada babak kedua, Felda United bermula dengan kuat dan pada minit ke-66 hampir mendapat gol pertama melalui pemain importnya Nicholas Leandro Velez.

Tendangan kencang Velez bagaimanapun berjaya ditepis keluar penjaga gol baharu Tambadau Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Selepas itu Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto membuat pertukaran menggantikan pemain import terbaru Sabah, Guy Kassa Gnabouyou dan memasukkan Alto Linus.

Aksi Paunovic menanduk bola ke gawang Felda United FC untuk gol pertama Skuad Tambadau Sabah. Gambar SNT/Ihsan Safa

Kesilapan di bahagian pertahanan pada minit ke-73 menyaksikan Felda United berjaya merapatkan jurang melalui penyerangnya Mohamad Khairul Amri Mohamad Kamal yang dibiarkan bersendirian dalam kotak penalti Sabah untuk menyudahkan hantaran lintang dari Velez.

Pertahanan kanan Sabah, Randy Baruh cuba menghalang namun berjaya dielak Khairul Amri sebelum melepaskan tendangan kencang ke penjuru atas gol menewaskan Wan Muhammad Azraie.

Selepas gol itu, Kurniawan mengubah taktik dengan memasukkan Maxsius Musa dan mengeluarkan Ummareng Bachok.

Maxsius Musa membuat rembatan yang menghasilkan gol ketiga Sabah. Gambar SNT/Ihsan Safa

Tidak sampai satu minit berada atas padang, Maxsius berjaya menjaringkan gol ketiga Tambadau apabila menyudahkan hantaran lintang cantik dari Shitembi.

Satu lagi pertukaran Sabah ialah Hamran Peter yang dimasukkan mengganti Mohd Azwan Abd Fattah pada minit terakhir perlawanan.

Dua pemain Felda United dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim pada masa kecederaan.

Petrus Shitembi (jersi nombor 10), pemain terbaik perlawanan. Gambar SNT/Ihsan Safa

Sabah bagaimanapun mengutip tiga kad kuning yang dilayangkan kepada ketua pasukan Rawilson Batuil, Park Taesu dan Mohd Azizan Nordin.

Sabah kini mempunyai empat mata daripada dua perlawanan setelah seri 0-0 dengan PDRM minggu lalu.

Perlawanan seterusnya adalah menentang Pahang di Stadium Darul Makmur pada 10 Mac ini.-SabahNewsToday