Pilih Bahasa

Tambadau buru mata penuh menentang JDT II malam esok

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau mensasarkan kemenangan ke atas JDT II apabila bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor malam esok.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony yakin Tambadau Sabah mampu membuat kejutan untuk mengesahkan tempat di Liga Super dan mengukuhkan kedudukan teratas Liga Premier.

Peter Anthony. Gambar Fail SNT

“Walaupun beraksi di gelangang lawan dan masih ada beberapa pemain utama tidak dapat disenaraikan kerana kecederaaan, saya percaya pasukan kita mampu membuat kejutan untuk mempertahankan kedudukan selaku pendahulu liga.

“Suasana dalam pasukan amat baik dan semuanya begitu bersemangat. Saya percaya ini petanda baik dan saya yakin barisan jurulatih juga sudah ada perancangan rapi untuk memburu kemenangan yang sangat diperlukan,” kata Peter ketika dihubungi di sini, Khamis.

Dua pemain tengah, Mohd Azizan Nordin dan Sabri Sahar adalah antara pemain utama yang tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.

“Satu mata akan mengesahkan tempat ke Liga Super tetapi kalau menang, bukan sahaja dapat tempat ke Liga Super musim depan tetapi akan mengukuhkan kedudukan sebagai calon terbaik memenangi gelaran juara Liga Premier musim ini.

“Kemenangan juga akan menebus kekalahan 1-2 ditangan lawan sama pada pusingan pertama di Stadium Likas,” kata Peter.

Tambadau dan JDT II hanya dipisahkan satu mata. Sabah mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding JDT II.

“Ini adalah perlawanan antara dua pasukan teratas iaitu situasi yang jelas membayangkan betapa pentingnya dapatkan mata…saya mahu pasukan buru mata penuh.

“Oleh itu saya juga merayu agar penyokong  khususnya ribuan rakyat Sabah yang berada di Johor datang memberi sokongan kepada pasukan,” kata Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Kesebelasan kemungkinan Sabah malam esok ialah Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil, Park Tae Su, Evan Wensley, Randy Baruh, Ahmet Atayev, Ricco Nigel Milus, Alto Linus, Jenius Karib, Aguinaldo Mendes dan Rodoljub Paunovic.

Turut di bawa ialah Mafry Balang, Dendy Lowa, Robson Rendy, Azwan Abd Fatah, Maxsius Musa, Rahman Shah, Muhammad Mohd Safar.-SabahNewsToday