Pilih Bahasa

Tambadau hidupkan peluang mara ke Liga Super

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah terus menghidupkan peluang beraksi di Liga Super musim hadapan dengan menundukkan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Likas semalam.

Gol tunggal pasukan Sabah dijaringkan oleh pemain lincah di sayap kanan Alto Linus dalam separuh masa kedua.

Perlawanan yang disaksikan oleh hanya 1,513 penyokong bermula agak seimbang dengan kedua-dua pasukan melancarkan serangan demi serangan namun dikecewakan dengan penyudahan yang tak kemana.

Hanya pada 45 minit babak kedua barulah penonton disajikan dengan aksi menarik bila kedua-dua pasukan membuka cara permainan masing-masing demi mencari gol.

Park Taesu (kiri) bersama Rodoljub Paunovic (kanan) meraikan jaringan oleh Alto Linus (tengah) pada minit ke-65. Gambar SNT/Ihsan Safa

Negeri Sembilan menerusi pemain import baharunya Igor Carneiro Luiz hampir membolosi gawang Sabah pada minit ke-49.

Bukan mudah memperdayakan tunggak pertahanan Tambadau, Park Taesu namun Igor berjaya membuat Park tersilap langkah dalam kotak penaltinya sendiri dan Tambadau Sabah bernasib baik kerana sepakan Igor hanya tersasar sedikit.

Pemain import baharu Sabah yang beraksi buat pertama kalinya di gelanggang sendiri, Aguinaldo Mendes de Vega mempamerkan persembahan yang menarik.

Penyerang berasal dari Angola itu menunjukkan bahawa dia mempunyai kelajuan dan juga skil memerangkap pertahanan lawan namun Aguinaldo turut mempunyai gaya “off-the-ball” yang agak ganjil.

Beberapa kali selepas menghantar bola kepada rakan sepasukan, Aguinaldo dapat dilihat membuat pelbagai mimik wajah dan isyarat tangan.

Pemain tinggi lampai dari Angola itu juga seakan diberi kebebasan oleh jurulatih Tambadau, Jelius Ating untuk berada di mana-mana posisi bahagian hadapan.

Pada minit ke-51, dari arah sayap kiri Aguinaldo memperlihatkan gerakan ‘magic’ untuk melepaskan diri daripada pertahanan Negeri Sembilan namun hantaran lintangnya yang begitu cantik tidak menemui rakan sepasukan.

Peluang bagi Sabah muncul pada minit ke-63, apabila pemain ‘attacking midfield’ Rodoljub Paunovic berada dalam situasi satu-lawan-satu bersama penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Alto Linus cuba mengekang serangan daripada pemain Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas di sini semalam. Gambar SNT/Ihsan Safa

Kaharuddin bagaimanapun cepat mengesan bahaya dan bertindak meluru keluar daripada kotak penalti untuk mengeluarkan bola.

Pada minit ke-65, Sabah dihadiahkan tendangan percuma di luar kotak penalti Negeri Sembilan yang diambil oleh pemain pertahanan dari Korea Park Taesu.

Sepakan Park terkena benteng pertahanan dan kemudian melantun balik kepadanya.

Dia menanduk bola masuk ke dalam kotak dan kelihatan penjaga garisan mengangkat bendera tetapi menurunnya semula apabila Aguinaldo yang berada dalam posisi “on side” mengambil bola tersebut.

Sepakan kencang Aguinaldo dapat ditampan oleh Kaharuddin namun hanya sampai setakat Alto yang langsung tidak dikawal dan dia terus meledakkan tendangan membolosi gawang Negeri Sembilan bagi Sabah mendahului 1-0.

Tindakan penjaga garisan mengangkat bendera kemudian menurunkannya semula sebelum jaringan Alto itu membuat para pemain Negeri Sembilan berang.

Pengurus pasukan Negeri Sembilan, Mohamad Khairollah Abd Latif turut dilihat berada dalam padang berhampiran dengan pengadil keempat mempertikaikan gol yang telah dibenarkan oleh pengadil perlawanan Zulkifli Ahmad.

Zulkifli bagaimanapun memberhentikan perlawanan dan ‘menendang’ pegawai tersebut daripada perlawanan.

Apabila perlawanan disambung semula Negeri Sembilan mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi Abdul Halim Zainal tetapi penjaga gawang Tambadau, Rozaimie Rohim tangkas menepis bola.

Pemain tengah Sabah Mohd Azizan Nordin (jersi no 8) cuba mengawal bola. Gambar SNT/Ihsan Safa

Dalam masa kecederaan, pemain tengah dari Turkmenistan, Ahmet Atayev mendapat peluang keemasan menambah gol bagi Tambadau Sabah.

Tetapi walaupun tidak dikawal dan mempunyai ruang cukup luas untuk membuat percubaan, sepakannya melambung tinggi.

Negeri Sembilan cuba mengambil kesempatan daripada masa kecederaan selama lima minit untuk mencari gol tetapi barisan pertahanan Tambadau yang diketuai Kapten Rawilson Batuil mampu mengekang kemaraan mereka.

Tiga mata berharga daripada kemenangan ini menyaksikan Tambadau Sabah mengatasi UiTM FC untuk berada di tangga kedua Liga Perdana.

Pemain Negeri Sembilan Mohammad Ridzuan Abdunloh Pula (jersi no 13) sedang membawa bola dalam perlawanan berkesudahan Sabah menang 1-0 semalam. Gambar SNT/Ihsan Safa

Skuad Tambadau perlu mengharungi tujuh lagi perlawanan sebelum musim ini tamat.

Tambadau Sabah akan berdepan dengan pasukan PDRM pada 19 Jun di Selayang dalam perlawanan seterusnya.-SabahNewsToday