Pilih Bahasa

‘TAMBADAU, MEET THE FANS’ ESOK (Jan 31)

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Selepas maskot Badak digantikan kepada skuad Tambadau, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan mengadakan majlis bertemu peminat pada esok (Khamis) di Pusat Membeli Belah Suria Sabah.

Setiausaha Agung SAFA Andrew Majanggim berkata acara ‘Meet The Fans’ tersebut akan bermula kira-kira pukul 11.40 pagi bertempat di Sportmart Ararat Tingkat 3 pusat membeli belah tersebut.

Andrew Majanggim. Gambar SNT/Ehsan Safa

Pada ‘Meet The Fans’ tersebut, SAFA turut akan memperkenalkan pasukan bawah 19 tahun (B-19) dan B-21.

Selain itu, Andrew dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata SAFA juga akan memperkenalkan pasukan utama Tambadau Sabah mereka kepada peminat skuad tersebut.

Sementara itu, katanya pelbagai acara lain akan diadakan seperti kuiz, sesi tandatangan bersama pemain serta bergambar.

“Penganjur juga ada menyediakan baju skuad Tambadau untuk 100 pengunjung terawal.

“Beberapa kelab peminat juga dijemput hadir bersama-sama pada acara ini,” katanya. -SabahNewsToday