Pilih Bahasa

TAMBADAU MENANG LAGI

KUCHING, 23 Feb (Bernama) — Sarawak tewas kepada Sabah dalam saingan Liga Premier hari ini berpunca atas kegagalan beberapa pemain mempamerkan aksi berkualiti, kata Ketua jurulatih pasukan Sarawak, Mohd Farhan Abdullah.

Katanya, pada separuh masa pertama, terdapat pemain yang hilang fokus, sehingga menyebabkan skuad Sang Badak berjaya menyumbat dua gol pantas pada minit ke 36 dan 38.

“Walaupun kami cuba bangkit pada separuh masa kedua, tetapi ia agak terlewat kerana kesilapan mudah yang dilakukan barisan pemain saya di babak pertama.

“Keputusan pengadil yang membatalkan dua jaringan kami di babak kedua juga, sedikit sebanyak menggangu permainan kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching itu, Sabah berjaya mencuri tiga mata di tempat lawan hasil jaringan Rodoljub Paunovi dan Sabri Sahar manakala jaringan saguhati pasukan tuan rumah, di jaringkan Pedro Henrique di hujung babak kedua perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata pujian harus diberikan kepada barisan pemainnya kerana menunjukkan aksi terbaik dan semangat juang yang tinggi, walaupun berhadapan saingan yang bukan mudah.

“Rezeki memihak kepada kami pada hari ini. Kita boleh lihat bagaimanana Sarawak melancarkan serangan bertubi-tubi pada separuh masa kedua, namun barisan pertahanan kami berjaya bertahan dengan baik,” katanya.

Selepas ini Sarawak akan bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras bagi bertemu pasukan UKM FC manakala Sabah pula akan melayani kunjungan PDRM di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu depan.

— BERNAMA