Pilih Bahasa

Tambadau mula pencarian pemain import; dua pemain Amerika Selatan cuba nasib

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Dua pemain berpengalaman berasal dari Brazil dan Argentina akan mencuba nasib menyarungkan jersi skuad Tambadau di Liga Super bermula esok.

Sabah memulakan siri ujian calon pemain import minggu hadapan dalam usaha memantapkan skuad Tambadau menghadapi cabaran baharunya di Liga Super bermula depan.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

Setakat ini dua calon iaitu penyerang dari Brazil, Laerci Gomes Costa dan pemain tengah dari Argentina, Jose Augusto Sardon bersetuju menjalani ujian bersama skuad Tambadau, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony.

Laercio berusia 29 tahun dengan ketinggian 1.70m beraksi bersama beberapa pasukan dalam liga negaranya sejak 2009 hingga 2015 seterusnya menyertai pasukan Banants dalam liga Armenia pada musim 2015-2016.

Laercio kemudian beraksi di liga utama Thailand bersama pasukan Prachuap FC pada 2016 hingga 2017 sebelum kembali ke liga negaranya dengan menyertai pasukan Tubarao SC untuk musim 2017-2018.

Beliau mencatat 29 jaringan dalam 102 penampilan di liga negaranya, Armenia dan Thailand.

Sardon pula berusia 30 tahun dan mempunyai ketinggian 1.80m, pernah beraksi di liga utama Indonesia bersama pasukan Persela untuk musim 2018-2019 kemudian menyertai Semen Padang sehingga September lalu dan kini tanpa pasukan.

Sebelum itu, Sardon juga pernah beraksi di liga Turki, Bolivia dan Uruguay selain di negaranya sendiri.

“Kita akan berusaha untuk membentuk pasukan lebih baik berbanding musim ini kerana cabaran musim depan lebih sengit di mana Tambadau Sabah kita akan beraksi di Liga Super.

“Pemain import adalah antara yang boleh membantu memantapkan lagi pasukan …sebab itu kami sedang berusaha mendapatkan import yang sesuai dengan keperluan pasukan menghadapi cabaran musim 2020,” kata Peter ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengenai nasib pemain-pemain sedia ada, Peter berkata mereka masih memperincikan rekod prestasi setiap pemain.

“Ia kini dalam proses akhir … semua pemain masih mempunyai kontrak sehingga November tetapi kita umumkan keputusan atau kedudukan pemain dalam masa terdekat ini.

“Apa yang pasti sekarang ialah kita perlu bentuk pasukan yang lebih mantap berbanding musim ini,” katanya.

Sabah muncul juara Liga Premier musim ini sekaligus layak bermain di liga bola sepak unggul negara iaitu Liga Super.-SabahNewsToday