Pilih Bahasa

Tambadau mulakan saingan Piala Malaysia menentang juara bertahan, Perak di Ipoh 4 Ogos

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Perjalanan Tambadau Sabah dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia musim ini bermula dengan berdepan juara bertahan Perak di Stadium Ipoh pada 4 Ogos nanti.

Jadual yang dikeluarkan Malaysia Football League (MFL) hari ini menyaksikan pasukan Tambadau Sabah mengharungi dua perlawanan berturut-turut dalam pusingan pertama peringkat kumpulan di gelanggang lawan.

Selepas Perak, Sabah dijadualkan bertemu dengan Pulau Pinang pula di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 7 Ogos.

Tambadau Sabah akan menutup tirai pusingan pertama kumpulan di Stadium Likas pada 17 Ogos menentang Pahang.

MFL belum mengeluarkan jadual pusingan kedua.

Ketika dihubungi, Ketua jurulatih Jelius Ating berkata mereka kini fokus kepada persiapan dan akan fikirkan tentang jadual perlawanan itu bila tiba masanya.

Jelius Ating. Gambar Fail SNT

“Saingan peringkat kumpulan ini dijalankan secara liga dua pusingan di mana semua pasukan akan bertemu dua kali iaitu ditempat sendiri dan tempat lawan.

“Tidak kiralah siapa dan di mana kita akan mulakan perlawanan, kami tetap perlu bersedia,” jelasnya.

Tambadau Sabah kini berada di Selangor untuk dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Premier UKM FC di padang UKM Bangi, Selangor hari ini dan esok.

“Dua perlawanan dengan UKM ini adalah antara persiapan kita. Ia pilihan lawan yang sesuai kerana sekarang ini kita cuma mahu mengekalkan momentum baik pasukan….terima kasih kepada pengurusan kerana membolehkan adanya perlawanan yang sangat diperlukan ini.

“Lawan pasukan dari Liga Super kurang sesuai kerana mereka semua pun main di Piala Malaysia. Main perlawanan yang terlalu kompetitif dedah risiko pemain cedera..kita tidak mahu ini terjadi kerana perlawnan pertama tinggal beberapa hari lagi,” kata Jelius.

Menurutnya, semua 23 pemain yang dibawa ke perlawanan persahabatan itu akan diberi peluang beraksi.

“Perlawanan esok (hari ini) kita akan turunkan barisan pemain kedua, begitu juga dengan pasukan lawan.

“Pada perlawanan kedua Ahad nanti baru kita turunkan barisan pemain utama. Saya fikir dua perlawanan ini akan memberikan kita persediaan yang diperlukan,” kata Jelius.

Pemain yang disenaraikan untuk dua perlawanan persahabatan itu terdiri daripada Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Alto Linus, Ricco Nigel Milus, Rawilson Batuil, Park Tae Su, Randy Baruh, Jenius Karib, Mohd Azwan Fattah, Mohd Azizan Nordin, Maxsius Musa, Rahmanshah Marajeh, Muhammad Mohd Safar, Aguinaldo Mendes, Ahmet Atayev, Rodoljub Paunovic, Mafry Balang, Ummareng Bacok, Evan Wensley Wenceslaus, Ranilson Batuil, Mazlan Yahya, Dendy Lowa dan Justin Samaan.

“Buat masa ini semua pemain dalam keadaan baik…bebas dari kecederaan kecuali Sabri (Sahar yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut). Saya harap keadaan ini kekal untuk kita menghadapi saingan Piala Malaysia dengan skuad terbaik,” kata Jelius.-SabahNewsToday