Pilih Bahasa

Tambadau perlu satu mata sahaja lagi untuk beraksi di Liga Super musim depan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony berkata Sabah akan memikirkan satu persatu baki empat perlawanan Liga Premier musim ini walaupun cuma satu mata lagi diperlukan Tambadau untuk layak beraksi di Liga Super musim depan.

“Kita akan bersedia untuk baki empat perlawanan itu tetapi akan fikirkannya satu persatu,” katanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan sekali) bersama Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, Menteri Sukan dan Belia Ginger Phoong dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon bersorak gembira meraikan gol pasukan Tambadau semasa menentang Sarawak Rabu lalu. Gambar SNT/Ihsan JKM

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri serta beberapa rakan kabinet lain kerana turut datang menyaksikan dan memberi sokongan kepada pasukan semasa menentang Sarawak di Stadium Likas.

Dalam perlawanan Rabu malam itu Sabah mencatat kemenangan selesa 4-1 melalui jaringan hatrik penyerang import Roduljub Paunovic dan import baharu, Aguinaldo Mendes Vega.

Gol saguhati Sarawak dijaringkan oleh Ketua Pasukannya, Bobby Gonzales, bekas pemain Sabah yang berhijrah ke negeri jiran.

“Kehadiran Ketua Menteri dan rakan kabinet lain memberi suntikan moral kepada pasukan. Terima kasih juga kepada penyokong. Semangat kebersamaan ini sangat membantu dan malam itu kita menang besar buat kali pertama,” kata Peter ketika dihubungi, Khamis.

Dua pasukan terbaik Liga Premier akan layak ke Liga Super dan dengan jumlah mata 34, Tambadau mempunyai kelebihan.

Kedudukan Liga Premier selepas semua perlawanan pada minggu ini

Seperti mana yang diketahui, dua pasukan iaitu JDT II dan Terengganu FC II tidak boleh naik ke Liga Super sekalipun menjuarai Liga Premier oleh kerana mereka merupakan feeder team bagi pasukan utama mereka yang beraksi dalam Liga Super.

Oleh itu, persaingan merebut dua tiket ke Liga Super itu kini hanya di antara pasukan Tambadau Sabah, UiTM FC, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Hanya UiTM FC sahaja yang mampu memintas jumlah mata Sabah sekiranya memenangi kesemua tiga perlawanannya termasuklah menentang Sabah di Stadium UiTM Shah Alam pada 9 Julai.

Bagi Negeri Sembilan, ia hanya mampu mengutip mata maksima 34, oleh itu skuad Tambadau hanya perlu seri dari baki empat perlawanan untuk mengambil satu daripada dua slot kenaikan ke Liga Super.

Bagi perlumbaan mengejar kejuaraan Liga Premier pula, Sabah dicabar JDT II, UiTM FC dan Terengganu FC II.

Menariknya, sebelum menentang UiTM FC, Tambadau terlebih dahulu akan bertemu JDT II di Stadium MP Pasir Gudang pada 5 Julai yang besar kemungkinan juga adalah perlawanan penentuan juara Liga Premier.

Selepas bermain Johor dan Shah Alam, skuad Tambadau akan beraksi buat kali terakhir di gelanggang sendiri pada 13 Julai bertemu dengan Kelantan sebelum perlawanan terakhir musim ini dengan Terengganu FC II di tempat lawan.-SabahNewsToday