Pilih Bahasa

Tambadau perlu tiga mata lagi dari tiga perlawanan untuk muncul juara Liga Premier 2019

Oleh Chris Maskilone

KOTA  KINABALU:  Skuad Tambadau Sabah hanya perlu memungut tiga mata sahaja lagi dari baki tiga perlawanannya untuk menjuarai Liga Premier 2019 sekaligus menamatkan kemarau kejuaraan pasukan selama 23 tahun.

Berdasarkan perkiraan matematik, pertarungan siapa bakal juara kini hanyalah antara Sabah dan JDT II.

Peter Anthony serta para pegawai bersorak kegembiraan bersama-sama penyokong Sabah meraikan gol penentuan perlawanan Sabah menentang JDT II di Pasir Gudang Jumaat lalu. Gambar SNT/Ihsan Safa

Skuad Tambadau mempunyai kelebihan kerana masih mempunyai tiga perlawanan berbanding hanya dua perlawanan lagi bagi JDT II.

Tambadau mengukuhkan kedudukan teratas liga dengan jumlah 37 mata selepas menundukkan JDT II melalui jaringan tunggal Rodoljub Paunovic di Pasir Gudang Jumaat lalu.

Bagi JDT II yang menduduki tangga kedua dengan 33 mata, mereka perlu memenangi dua perlawanan terakhirnya sambil mengharapkan pula Sabah gagal memungut sebarang mata dari tiga perlawanan terakhirnya.

Pemain Sabah meraikan jaringan cantik Paunovic semasa menentang JDT II di Pasir Gudang, Jumaat lalu. Gambar SNT/Ihsan Safa

Tambadau Sabah akan dinobat juara Liga  Premier 2019 sekiranya pasukan Harimau Selatan II gagal mendapat mata penuh.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony percaya ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai jika pasukan dapat mengekalkan prestasi baiknya.

“Beban tekanan mengeluarkan pasukan Sabah dari kepompong Liga Premier selama tujuh tahun telah kita lenyapkan dengan kejayaan layak ke Liga Super musim depan iaitu sasaran utama kita musim ini.

Antara penyokong bola sepak Sabah yang hadir di Stadium Perbandaran Pasir Gudang menyaksikan perlawanan antara Tambadau dan JDT II. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Kejayaan ini adalah pembakar semangat dan tonik yang kita perlukan untuk memburu gelaran juara Liga Premier pula.

“Saya amat yakin ini juga bukan mustahil kerana kita hanya perlukan tambahan tiga mata untuk mendakapnya dan mempunyai tiga peluang menerusi tiga baki tiga perlawanan mendapatkannya,” kata Peter ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambadau akan bertandang ke Stadium UiTM Shah Alam pada Selasa depan (9 Julai) untuk bertemu UiTM FC yang mengumpul 28 mata untuk berada di kedudukan ketiga.

“Dengan prestasi pemain di tahap baik sekarang saya yakin dan harap kita akan dinobatkan sebagai juara lebih awal,” kata Peter.

Kedudukan terkini Liga Premier 2019. Juara bakal ditentukan antara Sabah dan JDT II. Gambar SNT

Selepas UiTM FC, Tambadau Sabah akan beraksi di gelanggang sendiri buat kali terakhir musim ini menentang Kelantan pada 13 Julai sebelum menutup tirai bertemu dengan TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 19, 20 atau 21 Julai nanti.

Bagaimanapun, Tambadau Sabah akan bermain tanpa dua tonggak pertahanan iaitu Park Tae Su dan Randy Baruh serta pemain tengah Ahmet Atayev pada perlawanan akan datang.

Mereka akan menjalani penggantungan ekoran mengumpul tiga hingga enam kad kuning.-SabahNewsToday