Pilih Bahasa

Tambadau perlu tingkatkan prestasi berdepan PDRM: Henry

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pengurus Tambadau Sabah mahu pasukan itu meningkatkan permainan bagi meneruskan rentak kemenangan semasa berhadapan dengan PDRM di Stadium Hang Jebat pada Rabu ini.

Menurut Henry Saimpon walaupun Sabah menang 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Likas pada Sabtu lalu namun itu adalah persembahan di bawah tahap sebenar.

Henry Saimpon. Gambar Fail SNT

“Saya yakin kita boleh bermain lebih baik dari itu dan ini perlu apabila berhadapan dengan PDRM di tempat lawan Rabu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya kemenangan 3-1 ke atas PDRM pada pusingan pertama di Stadium Likas bukan jaminan untuk mereka mendapat laluan mudah.

Menang tiga dari empat perlawanan di pusingan kedua setakat ini adalah amaran jelas bahawa PDRM mampu membuat kejutan.

PDRM juga telah menjaringkan 10 gol dalam empat perlawanan itu termasuk membelasah Sarawak 6-2 dan membuat kejutan mengalahkan JDT II 1-0. PDRM juga menang 3-2 ke atas UKM FC pada perlawanan terakhir selepas tewas 1-0 ditangan Terengganu FC II sebelumnya.

Tambadau pula hanya menjaringkan tiga gol tetapi gawangnya juga belum dibolosi dalam empat perlawanan pusingan kedua dengann rekod tiga kemenangan dan satu seri.

Tambadau menang 1-0 ke atas Selangor United, UKM FC dan Negeri Sembilan manakala seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang.

“Belum dibolosi pada pusingan kedua adalah perkara positif. Kalau dapat pertahankan gawang dari dibolosi, dapat satu gol pun memadai…yang penting dapat tiga mata.

“Kita perlu elakkan dari keciciran mata untuk terus mengukuhkan peluang merealisasikan sasaran naik ke Liga Super musim depan,” kata Henry.

PDRM kini dikedudukan ketujuh dengan 18 mata.

Tambadau kini di kedudukan kedua dengan 28 mata selepas 14 perlawanan iaitu hanya satu mata di belakang JDT II di tangga teratas.

Bermain tanpa Ketua Pasukan

Skuad kendalian Jelius Ating bagaimanapun tanpa ketua pasukan Rawilson Batuil untuk dua perlawanan termasuk esok kerana menjalani penggantungan permainan ekoran telah mengumpul enam kad kuning.

“Ketiadaan Jipun (Rawilson) adalah satu kehilangan tetapi saya percaya barisan jurulatih yang diketuai Jelius ada penyelesaian untuk ini. Kita masih ada beberapa pemain pertahanan termasuk Mafry (Balang) dan Randy (Baruh) yang boleh menggalas tugas itu.

“Jelius dijangka akan memutuskan senarai pemain utama lewat petang ini. Siapapun yang disenaraikan, kalau dapat memberikan persembahan terbaik mereka, saya yakin kita mampu meneruskan rentak kemenangan,” kata Henry.

Kedudukan Liga Premier Malaysia 2019. Gambar Fail SNT

Sabah mempunyai baki satu perlawanan berbanding dengan JDT II yang sudah beraksi 15 perlawanan.

Turut memberi saingan sengit untuk dua kedudukan teratas yang diperuntukkan ke Liga Supper ialah UiTM FC yang telah mengumpul 27 mata di tangga keempat dan Terengganu FC II (23 mata) di tangga keempat.-SabahNewsToday