Pilih Bahasa

Tambadau Sabah diseru kekalkan sikap profesionalisme tinggi dan berdisiplin

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyeru para pemain Tambadau Sabah agar menunjukkan komitmen serta sikap profesionalisme yang tinggi dan berdisiplin kerana ini adalah kunci utama kejayaan.

“Para pemain harus mempunyai disiplin yang baik bukan sahaja di dalam padang, tetapi juga di luar permainan.

“Dengan mempunyai disiplin yang baik, para pemain akan dapat meningkatkan mutu permainan sekaligus mengangkat martabat bolasepak negeri ini ke tahap yang sepatutnya,” katanya.

Berucap dalam majlis pelancaran jersi pasukan bola sepak Sabah dan pengenalan pemain, Shafie berharap agar para pemain dapat lebih fokus dengan latihan dan mempunyai kesungguhan dalam setiap perlawanan Liga Super nanti.

Peter (tengah) mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama AMT Safa melakukan gimik pelancaran jersi bola sepak Sabah di Pacific Sutera semalam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) di Pacific Sutera semalam.

Selain itu, Shafie turut menasihatkan Safa untuk memastikan pengurusan kewangan dan pentadbiran cekap dan teratur kerana ianya adalah salah satu kunci kejayaan pasukan.

“Saya percaya, dengan kepimpinan pengurusan di bawah pimpinan Yang Berhormat Datuk Peter Anthony sebagai presiden Safa, nescaya kita pasti akan memperoleh kejayaan kelak,” katanya.

Beliau berkata dalam dunia sukan bola sepak, perkembangan profesionalism, sains sukan dan teknologi serta kepelbagaian idea-idea merupakan antara aspek-aspek yang diperlukan bagi pembangunan pasukan Tambadau Sabah untuk terus maju ke depan.

Peter menyampaikan ucapan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Ihsan Safa

“Sehubungan itu, untuk memastikan pembangunan bola sepak di negeri ini seiring dengan negeri-negeri lain, maka Safa tiada pilihan dan perlu berusaha sesuai dengan cabaran dan perkembangan semasa,” katanya.

“Semoga prestasi pasukan kita dapat ditingkatkan dengan adanya sokongan daripada peminat-peminat dan bantuan daripada penaja kepada pasukan kita,” ujar Shafie.

“Saya turut mendoakan agar pasukan Bola Sepak Tambadau Sabah serta pihak pengurusan akan terus maju jaya ke depan. Semoga Liga Super musim ini akan memberi banyak kejayaan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (Safa),” katanya.

Sementara itu, Tambadau mengekalkan kit jersi berwarna putih yang mula digunakan tahun lalu bagi perlawanan di gelanggang sendiri manakala jersi merah untuk perlawanan di tempat lawan untuk musim ini.

Pasukan Liga Super Tambadau diperkenalkan. Gambar SNT/Ihsan Safa

Selain pasukan senior Tambadau, turut diperkenalkan pasukan bawah 18 dan Piala Presiden Sabah.

Ditemui media selepas acara selesai, Peter melahirkan rasa terima kasih kepada para dermawan yang membolehkan pasukan Tambadau Sabah bermain dan mencapai kejayaan dalam Liga Premier tahun lalu.

“Pada tahun in penderma-penderma budiman juga telah membolehkan kami bermain di Liga Super,” katanya.

Mengenai persediaan pasukan menghadapi perlawanan Liga Super pertamanya pada Ahad ini di tempat lawan, Peter berkata persediaan para pemain telah diserahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto.

“Daripada apa yang dapat kita rangkumkan dari segi persediaan terakhir saya percaya pemain berada dalam keadaan yang baik. Pemain rata-rata sudah bersedia untuk berentap menentang PDRM dan seterusnya dengan Felda di tempat lawan,” katanya.

Peter berkata pasukan Tambadau harus menyediakan diri mereka untuk sekurang-kurangnya mengutip mata awal supaya semangat dan momentum pasukan berada dalam kedudukan yang baik.

Peter menyampaikan plak penghargaan kepada bekas ketua pasukan bola sepak Sabah Henry Anjun. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Terdahulu dalam majlis itu, Peter menyampaikan pengiktirafan kepada lima bekas pemain bola sepak Sabah iaitu Alinjiran Nulantan, Henry Anjun, Karti Tukimin, Malim Surat seorang pemain bola sepak wanita Laini Ahing.-SabahNewsToday