Pilih Bahasa

Tambadau Sabah idam kemenangan menentang Selangor United di Likas esok

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah sedia memburu kemenangan walaupun hanya diperkuatkan tiga import apabila melayani kunjungan Selangor United pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Premier di Stadium Likas malam esok.

“Kami hanya diperkuatkan tiga import serta masih tanpa dua lagi tonggak utamra iaitu Sabri Sahar dan Maxsius Musa yang masih dalam senarai kecederaan.

Henry Saimpon. Gambar Fail SNT

“Bagaimanapun kami telah buat persiapan tanpa mereka dan saya percaya ia bukan isu utama kerana kita masih ada cukup pemain yang beredia menggalas misi memburu tiga mata penuh,” kata pengurus pasukan, Henry Saimpon ketika ditemui di sini, Jumaat.

Sabah kini hanya diperkuatkan tiga import iaitu Park Tae Su, Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic selepas seorang lagi importnya, Luka Milunovic yang sebelum ini beraksi sebagai pemain pinjaman, dilepaskan untuk kembali menyertai pasukan asalnya, Melaka United.

Henry percaya barisan jurulatih yang diketuai Jelius Ating juga sudah ada strategi khas menghadapi Selangor United yang telah mengalahkan mereka 1-2 di Selangor pada pusingan pertama.

“Kita kalah pada pertemuan pertama itu kerana ketumpulan penyudah. Dari segi peluang, kita (Tambadau Sabah) lebih banyak berbanding mereka (Selangor United).

“Saya tiada keraguan dari segi kemampuan pasukan mencipta peluang. Saya cuma berharap tindakan penyudah mereka lebih berkesan kerana kemenangan hanya dapat dihasilkan dengan jaringan,” katanya.

Henry menjangkakan persaingan di pusingan kedua akan lebih sengit dan memenangi setiap perlawanan menjadi lebih penting.

“Apapun kita akan fikirkan perlawanan itu satu persatu. Saya fikir, masih berada di landasan yang baik untuk mengotakan sasaran naik ke Liga Super musim depan adalah motivasi terbaik untuk pemain turun berjuang memburu kemenangan,” kata Henry.

Tambadau Sabah kini di kedudukan ketiga dengan 18 mata manakala Selangor United di tangga kelima dengan 14 mata. Kedudukan itu bagaimanapun belum termasuk keputusan perlawanan antara UiTM FC dan Terengganu FC II semalam.

Turut beraksi semalam ialah JDT II menentang PDRM dan UKM FC menentang Pulau Pinang manakala satu lagi perlawanan malam ini ialah Kelantan menentang Sarawak.

Sambil itu, Jelius dijangka akan menggunakan kesebelasan utama sama seperti perlawanan terakhir ketika menewaskan UKM FC 3-1 di Stadium Likas, 20 April lalu.

Kesebelasan kemungkinan Tambadau Sabah ialah Rozaimie Rohim, Park Tae Su, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Randy Baruh, Mohd Azizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Jenius Karib, Alto Linus, Rodoljub Paunovic dan Luiz Carlos Junior.-SabahNewsToday