Pilih Bahasa

Tambadau Sabah kecundang lagi, tewas 0-1 kepada Tok Gajah

Oleh Chris Maskilone

KUANTAN: Sabah kecewa buat kali keempat berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia apabila kecundang  0-1 kepada pasukan Tok Gajah di Stadium Darulmakmur malam tadi.

Keputusan itu meletakkan skuad Tambadau dalam keadaan sukar sementara pasukan Tok Gajah pula selesa kerana telah disahkan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun dalam kekalahan itu tadi, anak buah Jelius Ating mempamerkan persembahan yang berbeza dan tampak lebih bertenaga untuk menyaingi pasukan besar seperti Pahang terutama dalam babak pertama.

Sabah mendapat peluang seawal minit pertama melalui Aguinaldo Mendes yang mengambil kesempatan atas kelekaan pertahanan Pahang dan berjaya mengelirukan Mohd Helmi Eliza Elias yang telah meluru keluar meninggalkan gawangnya.

Namun percubaan Aguinaldo hanya sekadar melintasi pintu gol Pahang disebabkan penyerang berasal dari Angola itu telahpun berada dalam sudut sukar untuk membuat penyudahan.

Kemudian pada minit ke-16, Alto Linus melalui sepakan percuma dari jarak lebih 30 meter memaksa Mohd Helmi merebahkan badan untuk menghalang gawangnya dari dibolosi.

Pemain tengah, Azizan Nordin merupakan pemain terbaik Sabah pada malam tadi menghasilkan beberapa umpanan berbahaya yang diselamatkan oleh penjaga gol tuanrumah.

Serangan Tok Gajah yang di ketuai oleh dua penyerang import mereka Lazarus Kaimbi dan Dickson Nwakaeme amat berbisa memaksa Rawilson Batuil dan Park Tae Su di pertahanan tengah bekerja keras.

Pertahanan kanan Sabah, Evan Wenceslaus Wesley pula hampir mengulangi kesilapan semasa menentang Perak meletakkan bola dalam jaring sendiri.

Mujur tendangan clearance itu tersasar sipi sahaja dari pintu gol Tambadau dan kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga selesai 45 minit pertama.

Babak kedua menyaksikan Sabah memulakan perlawanan dengan bertenaga dan bersilih ganti dengan Pahang membuat serangan.

Kemudian pada minit ke-57, Nwakaeme menolak bola masuk dengan back flick selepas mendapat hantaran semula dari tendangan sudut untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Tambadau Sabah tidak mahu mengaku kalah terus melancarkan serangan dan Azizan hampir mendapat gol penyamaan melalui sepakan percuma tetapi diselamatkan oleh penjaga gol Pahang pada minit ke-71.

Jelius membuat dua pertukaran menggantikan Ricco Nigel Milus dengan Umarreng Bachok kemudian Aguinaldo dengan Rahman Shah.

Tambadau menggandakan usaha mencari gol penyamaan namun ini membuat kubu pertahanan di bawah terbuka.

Pasukan Tok Gajah mengambil kesempatan mengucar kacir bahagian pertahanan pasukan pelawat dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik menambah jaringan yang disia-siakan.

Kedudukan 0-1 kekal sehingga perlawanan tamat.

Masih ada ada tinggal dua perlawanan lagi  bagi tiap pasukan dalam kumpulan C.

Keputusan seri antara Perak dan Pulau Pinang tadi memberi sedikit harapan kepada Sabah yang akan menentang kedua pasukan ini di Likas.

Selain perlu memenangi kedua-duanya perlawanan, Sabah juga mengharapkan Perak dan Pulau Pinang kalah ditangan Pahang untuk menghidupkan sebarang peluang mara ke pusingan kalah mati.

Pahang dengan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan kekal di tangga atas kumpulan C dengan 12 mata, manakala Perak dan Pulau Pinang masing-masing mempunyai 5 mata di tangga kedua dan ketiga manakala Sabah tempat keempat tanpa sebarang mata.-SabahNewsToday