Pilih Bahasa

Tambadau Sabah rehatkan pemain utama untuk Piala Malaysia

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Beberapa pemain utama Juara Liga Premier Tambadau Sabah akan direhatkan pada perlawanan penutup tirai Liga Premier 2019 menentang Terengganu FC II di Stadium Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Jelius Ating berkata pada perlawanan itu pemain simpanan yang jarang dapat bermain akan mendapat peluang diturunkan sebagai kesebelasan utama.

Jelius Ating. Gambar Fail SNT

Menurutnya, keputusan itu berkait rapat dengan strategi dan persiapan Tambadau Sabah menghadapi saingan Piala Malaysia nanti.

“Beberapa pemain utama ada risiko digantung permainan jika dilayangkan kad kuning pada perlawanan ini. Kita tidak mahu ambil risiko itu kerana kita mahu memulakan saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula awal Ogos depan dengan skuad terbaik dan besar.

“Ada juga pemain utama yang mengalami sedikit kecederaan, jadi sebaiknya mereka dibebaskan sepenuhnya dari kecederaan daripada beraksi yang mungkin  akan menyebabkan kecederaan mereka bertambah serius.

“Pada masa yang sama, menyenaraikan pemain dari bangku simpanan ini juga baik sebagai  persiapan mereka supaya bersedia dan menjadikan skuad kita lebih besar menghadapi Piala Malaysia,” kata Jelius ketika dihubungi di Terengganu, Khamis.

Antara pemain utama yang dijangka direhatkan atau bermula dibangku simpanan ialah penjaga gol Rozaimie Rohim, Alto Linus (pertahanan kanan), Mohd Azizan Nordin, Jenius Karib (pemain tengah) dan penjaring utama Rodoljub Paunovic.

Paunovic, Mafry Balang dan Dendy Lowa antara yang berisiko digantung perlawanan jika dilayangkan kad kuning.

Turut tidak dibawa ialah Evan Wensey (pertahanan kiri) yang menjalani penggantungan satu perlawanan.

“Saya difahamkan bahawa penggantungan (jika ada) akan di bawa ke saingan Piala Malaysia tetapi kalau belum sampai digantung, semua kad kuning akan dihapus kira. Perkara inilah  yang turut saya ambil kira dalam menyenaraikan pemain menghadapi Terengganu FC II,” kata Jelius.

Jelius berkata tugas penjaga gol utama akan diberikan kepada Robson Rendy Rining manakala Muhammad Mohd Safar  akan ambil tempat Evan membarisi bahagian pertahanan bersama Rawilson Batuil, Park Tae Su dan Randy Baruh.

Mohd Azwan Abd Fattah pula akan ambil tempat Azizan untuk menggerakkan bahagian tengah bersama Ahmet Atayev, Ricco Nigel Milus dan Maxsius Musa manakala Rahman Shah Marajeh ambil tempat Paunovic bergandingan dengan Aguinaldo Mendes di bahagian serangan.

Turut dalam senarai 18 pemain yang dibawa adalah Rozaimie Rohim, Alto, Jenius Karib, Azizan, Mazlan Yahya, Dendy Lowa dan Justin Samaan.

“Kita telah berlatih dengan kesebelasan kemungkinan itu dan saya yakin mereka mampu meneruskan rentak baik pasukan kerana inilah yang kita mahu daripada mereka apabila diberi peluang.

“Walaupun sudah tiada apa yang perlu dikejar, ianya baik kalau kita menamatkan saingan dengan kemenangan,” kata Jelius.

Dalam pertemuan di Stadium Likas, Terengganu FC II tewas 1-3 kepada Tambadau Sabah.-SabahNewsToday