Pilih Bahasa

Tambadau Sabah teruskan momentum baik: Jelius

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah menang dua perlawanan dan tewas sekali dalam tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super di Semenanjung Malaysia minggu lalu.

Begitupun, Ketua Jurulatih Jelius Ating menyifatkan kunjungan tersebut sebagai berbaloi kerana ia bukan sahaja memberi ujian baik tetapi membantu pasukan mengekalkan momentum baiknya.

Jelius Ating. Gambar Fail SNT

“Seperti yang saya kata pada awalnya, keputusan perlawanan adalah perkara kedua dalam kunjungan ke Semenanjung itu. Apa yang penting ialah kita dapat menguji pemain dan saya gembira kerana berpeluang menurunkan semua yang dibawa dalam kunjungan itu,” katanya.

“Terima kasih kepada pengurusan terutama Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony kerana membolehkan pasukan mendapat perlawanan persahabatan yang diperlukan itu. Ia adalah kunjungan yang sangat berbaloi,” kata Jelius ketika dihubungi di sini, Selasa.

Menurutnya, dua pertemuan dengan Melaka United dan sekali dengan Selangor PKNS FC banyak membantu terutama dalam persediaan Tambadau Sabah meneruskan saingan Liga Premier.

Dua perlawanan dengan Melaka United menyaksikan pasukan utama Tambadau Sabah tewas 2-0 perlawanan pertama tetapi pasukan kedua menebusnya dengan kemenangan jaringan sama pada pertemuan kedua.

Pasukan utama juga kemudiannya menunjukkan mereka masih dengan momentum baik apabila menundukkan Selangor PKNS 1-0 pada perlawanan persahabatan terakhir.

Gol Tambadau Sabah ketika menentang Melaka dijaringkan Stanley Sulong dan Melky Balang manakala gol tunggal ketika menentang PKNS dijaringkan Rodoljub Paunovic.

Dua puluh empat pemain dibawa dalam kunjungan itu iaitu Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Mafry Balang, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Muhammad Mohd Safar, Mohd Azizan Nordin, Alto Linus, Melky, Jenius Karib, Randy Baruh Samson, Justin Samaan, Mohd Azwan Abd Fattah, Ricco Nigel Milus, Maxsius Musa, Elias Sulaiman, Sabri Sahar, Rahman Shah Marajeh, Stanley, Mazlan Yahya, Ranilson Batuil, Pask Tae Su, Paunovic dan Luka Milunovic.

Pasukan kemudian disertai Ariusdius Jais selepas beliau digugurkan dari skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Jelius berkata semua pemain juga kini ditahap baik dan sedia untuk beraksi termasuk Luiz Carlos Junior yang tidak dibawa dalam kunjungan ke Semenanjung kerana dalam senarai kecederaan.

Perjuangan Liga Premier Tambadau Sabah bermula kembali menentang Pulau Pinang di Stadium Likas Sabtu ini selepas liga berehat selama sebulan.-SabahNewsToday