Pilih Bahasa

Tambadau Sabah tundukkan Selangor United 1-0

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah berjaya pertahankan gol awal untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas Selangor United di Stadium Likas, di sini malam tadi.

Kemenangan dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Premier itu menebus kekalahan Tambadau Sabah ditangan Selangor United pada awal musim ini.

Paunovic (kiri sekali) menjaringkan gol pertama Sabah sambil diperhatikan oleh rakannya, Luiz Carlos Junior. Gambar SNT/Ihsan Safa

Perlawanan bermula dengan baik bagi pasukan tuan rumah dan gol datang seawal minit ke-6 melalui pemain import, Paunovic Rodoljub.

Gerakan bermula dari sebelah kiri melalui Jenius Karib yang membuat hantaran silang ke hujung sebelah kotak penalti menemui Alto Linus.

Alto berjaya menanduk bola balik ke dalam kotak penalti Selangor United yang kemudiannya disambar oleh Paunovic dan dengan mudah menolak bola melepasi penjaga gol, Muhamad Nuraizat Abdul Aziz.

Selepas itu, Selangor United terus menerima tekanan dari Tambadau Sabah dan pada minit ke-9, pemain import dari Korea, Park Tae Su hampir menjaringkan gol kedua.

Paunovic (no.9) bersama Alto (no.11) dan pemain-pemain skuad Tambadau Sabah meraikan gol minit ke-6. Gambar SNT/Ihsan Safa

Park yang keseorangan di sebelah kiri gol Selangor United menanduk bola dari sudut sempit hasil hantaran tendangan sudut Mohd Azizan Nordin namun hanya terkena tiang gol dan melantun semula untuk dikeluarkan dari zon merbahaya oleh pertahanan lawan.

Selangor United cuba bangkit semula dan hampir membolosi gawang Tambadau Sabah pada minit ke-27 melalui tendangan percuma Mohd Fauzan Dzulkifli namun kecekapan penjaga gol, Rozaimie Rohim berjaya menyelamatkan keadaan.

Tujuh minit kemudian, penyokong Sabah dikejutkan dengan cubaan penyerang import Selangor United dari Uzbekistan, Nikita Pavlenko yang terkena tiang gol dengan Rozaimie sudah tewas.

Tambadau Sabah tampak bertenaga dengan Alto bermain di sayap kanan asyik berjaya menewaskan pertahanan Selangor United untuk membuat hantaran silang tetapi tidak dapat disudahi oleh Paunovic ataupun Luiz Carlos Junior.

Pada babak kedua, permainan bertukar corak dengan Selangor United mengawal hampir keseluruhan perlawanan.

Pertahanan Tambadau Sabah yang diketuai Rawilson Batuil bersama Park, Randy Baruh dan Evan Wensley Wenceslaus terpaksa menahan gandingan serangan Pavlenko dan Sergio Fabian Aguero dari Selangor United.

Pada minit ke-54, Pavlenko sekali lagi mendapat peluang tetapi cubaannya di depan gol menuju tepat kedakapan Rozaimie.

Tambadau Sabah hanya mempunyai satu atau dua peluang dalam separuh masa kedua, antaranya pada minit-minit akhir apabila Azizan berjaya melepaskan diri di sebelah kanan dan membuat hantaran lencong kepada Paunovic.

Cubaan Paunovic bagaimanapun terkeluar sipi sahaja.

Debaran penyokong Sabah bertambah apabila pengadil ke-empat menunjukkan empat minit masa kecederaan semasa Selangor United menggandakan asakan.

Mereka menarik nafas lega apabila pengadil perlawanan Muhd Faiz Jamaluddin akhirnya meniupkan wisel penamat sebaik sahaja tendangan percuma di atas kotak penalti Sabah disia-siakan oleh Selangor United.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Tambadau Sabah mengumpul 21 mata selepas 11 perlawanan dan mengambil alih kedudukan tangga kedua liga dari UiTM. JDT II masih mendahului liga.-SabahNewsToday