Pilih Bahasa

Tambadau Sabah tundukkan UKM 1-0, hidupkan peluang ke Liga Super

Oleh Chris Maskilone

KUALA LUMPUR: Skuad Tambadau Sabah mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Premier dengan menundukkan UKM FC 1-0 di Stadium Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Tiga mata penuh itu amat berharga kerana ia memastikan Sabah terus berada dikelompok atas liga seterusnya menghidupkan peluang untuk bermain di Liga Super musim depan.

Para pemain Sabah memeluk penjaring gol tunggal perlawanan, Aguinaldo Mendes Veiga. Gambar SNT/Ihsan MyCujoo

Bagaimanapun, perlawanan yang dimulakan pada jam 10 malam (jadual bulan ramadan) menyaksikan skuad Tambadau dipaksa bertahan oleh UKM FC diawal permainan babak pertama.

Dan serangan demi serangan itu membuahkan hasil bagi UKM FC apabila mereka dihadiahkan tendangan penalti walaupun agak kontroversi oleh pengadil Suresh Jayaraman pada minit ke-9.

Pertahanan kiri Sabah, Evan Wensley dipersalahkan kerana dikatakan menarik penyerang UKM FC, Wan Mohammad Faiz ketika dia sedang mengelecek bola masuk ke dalam kotak penalti Sabah.

Protes dari pemain Tambadau tidak dihiraukan oleh pengadil yang mengarahkan pemain import UKM FC, Michael Chukwubunna Izejie yang diberi tugas mengambil sepakan penalti itu untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Ketangkasan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim bagaimanapun menafikan peluang UKM FC untuk mendahului apabila dia berjaya menepis tendangan kencang Izejie untuk tendangan sudut.

Ketika perlawanan sedang rancak berjalan, stadium tiba-tiba menjadi gelap disebabkan masalah teknikal lampu limpah pada minit ke-37.

Permainan hanya dapat disambung semula untuk menghabiskan sisa separuh masa pertama hampir sejam kemudian.

Sebaik separuh masa kedua bermula pada jam 12.15 tengah malam, giliran skuad Tambadau pula melancarkan serangan demi serangan.

Gol tunggal perlawanan dan juga gol kemenangan Sabah hadir pada minit ke-49 melalui pemain import baharu dari Angola, Aguinaldo Mendes Veiga yang bermain perlawanan pertamanya untuk Tambadau.

Gerakan bermula dari lontaran ke dalam Dendy Lowa yang tidak berjaya dikeluarkan dengan baik oleh pertahanan UKM FC sehinggalah bola sampai kepada Azizan Nordin di bahagian tengah yang kemudian membuat hantaran lintang ke dalam kotak penalti di mana Park Taesu dan Alto Linus sedang menunggu.

Penjaga gol UKM FC, Amin Faisal Mohd Saidi cuba menumbuk hantaran itu sebelum dia terjatuh namun bola jatuh di hadapan Aguinaldo yang tidak dikawal dan dengan mudah menendang kencang membolosi gawang pasukan tuan rumah.

Pada minit ke-82 sekali lagi Rozaimie menyelamatkan Sabah selepas berjaya menepis cubaan kencang dari atas kotak penalti oleh pemain gantian UKM FC Muhamad Baqiuddin Shamsudin.

Tambadau Sabah hampir mendapat gol kedua pada minit ke-88 apabila Rodoljub Paunovic yang keseorangan di atas mendapat hantaran baik dari Azizan.

Mengejar bola sambil dibayangi oleh pertahanan UKM FC, Saiful Hasnol, cubaan Paunovic dari luar kotak sempat diselamatkan oleh Amin Faisal yang sudah meluru keluar dari garisannya.

Pengadil akhirnya meniup wisel penamat pada jam 1.03 pagi.

Tambadau Sabah boleh berpuas hati dengan kemenangan ini memandangkan selain Aguinaldo mereka juga bermain buat pertama kalinya dengan pemain dari Turkmenistan, Ahmet Atayev yang bermain di bahagian tengah.

Keputusan itu menyaksikan Sabah mengumpul 24 mata dari 12 perlawanan iaitu satu mata dibelakang pendahulu liga JDT II dan satu mata dihadapan tempat ketiga, UiTM FC.-SabahNewsToday