Pilih Bahasa

TAMBADAU SABAH UJI KEMAMPUAN MENENTANG TIGA PASUKAN LIGA SUPER

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah akan uji semaksimum mungkin pemain dalam tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan dari Liga Super di Semenanjung minggu ini.

“Kita akan menentang Melaka United pada 20 dan 21 Mac di Stadium Hang Jebat dan seterusnya ke Stadium MBPJ Selangor menentang PKNS FC pada 23 Mac.

Henry Saimpon. Gambar Fail SNT

“Kami akan cuba turunkan semua 24 pemain yang disenaraikan ke perlawanan ini untuk dapatkan pilihan-pilihan kombinasi bagi mengharungi saingan sebenar yang masih panjang,” kata pengurus pasukan Henry Saimpon ketika dihubungi di sini, Selasa.

Menurutnya, ketua jurulatih Jelius Ating dijangka akan menurunkan barisan utama biasanya pada perlawanan pertama menentang Melaka United malam esok.

Dalam perlawanan kedua menentang lawan sama pada Khamis, Jelius dijangka menurunkan pasukan keduanya yang dibarisi pemain yang belum beraksi atau hanya sebagai pemain simpanan dalam saingan sebenar sebelum ini.

“Pada perlawanan terakhir menentang PKNS, kita akan cuba barisan terbaik berdasarkan dua perlawanan sebelumnya,” kata Henry sambil memberitahu bahawa sepak mula semua perlawanan adalah pada jam 8.30 malam.

Pemain yang dibawa terdiri daripada Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Mafry Balang, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Muhammad Mohd Safar, Mohd Azizan Nordin, Alto Linus, Melky Balang, Jenius Karib, Randy Baruh Samson, Justin Samaan, Mohd Azwan Abd Fattah, Ricco Nigel Milus, Maxsius Musa, Elias Sulaiman, Sabri Sahar, Rahman Shah Marajeh, Stanely Sulong, Mazlan Yahya, Ranilson Batuil, Park Tae Su, Rodoljub Paunovic dan Luka Milunovic.

Mengenai ketiadaan nama Luiz Carlos Junior dalam senarai, Henry berkata penyerang import dari Brazil itu tidak dibawa kerana masih dalam proses pemulihan dari kecederaan otot paha.

“Saya percaya tiga perlawanan ini akan memberi ujian terbaik buat pasukan kita. Selain untuk dapatkan kombinasi pemain, perlawanan ini juga untuk memastikan momentum baik pasukan sekarang dapat dikekalkan.

“Kita perlukan perlawanan ini ekoran rehat panjang kira-kira tiga minggu saingan Liga Premier,” kata Henry.  

Henry berkata, perlawanan pemanas badan itu juga penting bagi menilai kemampuan pasukan menghadapi pasukan dari Liga Super.

“Menentang pasukan dari Liga Super ini malahan bukan sahaja akan menilai kemampuan kita  tetapi akan memberi persediaan yang baik dengan kemungkinan akan bertemu pasukan dari Liga Super jika dapat meneruskan cabaran dalam saingan Shopee Piala FA,” katanya.

PKNS FC kini dikedudukan keempat carta Liga Super selepas mengumpul 11 mata dari enam perlawanan dengan rekod tiga menang, dua seri dan satu kalah manakala Melaka United telah mengumpul 10 mata di tangga kelima dengan rekod tiga menang, satu seri dan dua kalah.

Tambadau Sabah pula ditangga kedua Liga Premier selepas mengumpul 11 mata dari enam perlawanan dengan rekod tiga menang, dua seri dan satu kalah. 

Tambadau Sabah akan meneruskan cabaran Liga Premier menentang Pulau Pinang di Stadium Likas pada 30 Mac.

Selepas itu, Tambadau Sabah beralih tumpuan kepada saingan kalah mati pusingan kedua Shopee Piala FA menentang Kelantan United FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu Kelantan pada 3 April.-SabahNewsToday