Pilih Bahasa

Tambadau sedia hadapi The Cops dalam perlawanan pembuka tirai Liga Super di KL 1 Mac

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah bersedia untuk mengharungi cabaran Liga Super bermula pada 1 Mac ini menentang PDRM di Kuala Lumpur.

Ketua Jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto berpuas hati dengan persediaan Tambadau setelah melalui beberapa peringkat latihan termasuk mengadakan perlawanan persahabatan pra-musim di Filipina dan Indonesia.

Presiden Safa Datuk Peter Anthony (berdiri tengah) bersama barisan pemain Liga Super Tambadau, pihak pengurusan dan coaching staff dalam majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain di Pacific Sutera semalam. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ditemui selepas acara pelancaran jersi pasukan bola sepak Sabah dan pengenalan para pemain di Pacific Sutera semalam Kurniawan berkata telah mengarahkan anakbuahnya untuk menghormati pasukan PDRM.

PDRM merupakan pasukan kedua dari Liga Premier yang dinaikkan ke Liga Super.

The Cops menamatkan Liga Premier musim lalu di tangga ketiga namun layak ke Liga Super mengambil tempat ‘feeder team’ JDT II yang berada di tangga kedua.

“Ramai mengatakan kepada saya bahawa PDRM itu tidak kuat tetapi saya mengingatkan kepada pemain untuk bermain dengan satu tekad dan semangat,” katanya.

Mohon jangan kecam pemain

Bintang lagenda bola sepak Indonesia ini juga memohon agar para pemainnya tidak dikecam sekiranya pasukan Tambadau kalah.

Kurniawan bercakap kepada media semalam, Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kalau kalah jangan salahkan pemain, salahkan coach,” katanya sambil menambah sebagai jurulatih beliau harus melindungi para pemainnya.

“Saya (pun) pernah bermain … Jangan kecam pemain kerana mereka sudah usaha seribu persen. Saya tahu kadang-kadang (persembahan pemain) ada hari bagus dan ada harinya turun.

“Kalau tidak puas hati kita boleh bincang tapi jangan kecam. Saya sangat protect pemain saya,” katanya.

Mengenai kesebelasan utama pasukan, Kurniawan berkata beberapa kombinasi pemain telah dicuba semasa perlawanan pra-musim.

“Kita punya banyak pilihan,” katanya.

Mengenai harapan beliau bersama pasukan Sabah, Kurniawan berkata secara peribadi dia ingin memberikan yang terbaik.

“Pada permulaan karier dahulu saya berjaya main di luar negara dengan baik dan kalau saya juga mahu berjaya sebagai coach terbaik di luar negara,” katanya.

Barisan Tambadau Sabah:

Penjaga Gol:

Rozaimie Rohim, Wan Muhammad Azraie Wan Teh dan Robson Rendy Rining

Pertahanan:

Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Evan Wensley Wenceslaus, Jenius Karib, Mafry Balang, Randy Baruh Samson, Ummareng Bacok, Muhammad Zubir Mohd Azmi dan Park Taesu.

Tengah

Alto Linus, Maxsius Musa, Mohd Azizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Sabri Sahar, Mohd Azwan Abd Fattah, Ariusdius Jais, Mohd Shukri Baharun, Dennis Buschening

Penyerang

Hamran Peter, Mazlan Yahya, Shahrizam Sahar, Rodoljub Paunovic, Hector Ramos dan Petrus Shitembi

Ketua Jurulatih: Kurniawan Dwi Yulianto

Pengurus Pasukan: Henry Saimpon

-SabahNewsToday