Pilih Bahasa

Tambadau tewas 1-2 kepada Tok Gajah

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Derita skuad Tambadau Sabah berterusan apabila tewas 1-2 dengan pasukan Tok Gajah, Pahang yang bertandang ke Stadium Likas malam tadi.

Kekalahan kali ketiga berturut-turut dalam Kumpulan C menyukarkan lagi perjalanan Sabah dalam menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini.

Gawang Sabah ditembusi seawal minit pertama apabila penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme yang walaupun dikawal oleh Park Tae Su berjaya mengawal kemas hantaran lintang dari sebelah kanan di dalam kotak penalty sebelum membuat satu ‘turning kick’ menewaskan penjaga gol, Rohaimie Rohim.

Aguinaldo (berjersi putih) menjaringkan gol tunggal Sabah dalam perlawanan menentang Pahang di Stadium Likas semalam. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada minit ke-16, Tambadau hampir mendapat gol penyamaan melalui sayap kanan, Alto Linus namun tendangan kencangnya yang terkena kaki pemain pertahanan Pahang berjaya ditepis penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias.

Dalam babak pertama ini juga Pahang telah menunjukkan mengapa mereka merupakan naib juara Liga Super musim ini apabila mudah mengucar-kacirkan pertahanan Sabah.

Pada minit ke-34, pasukan Tok Gajah menambah jaringan menerusi Lazarus Kaimbi yang tenang menewaskan Rozaimie untuk menyudahkan gerakan cantik satu-dua dengan Nwakaeme.

Tambadau menerusi Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes dibantu oleh pemain tengah Azizan Nordin cuba mencari gol tetapi usaha menembusi pertahanan Pahang yang diketuai oleh Herold Mark Goulon yang begitu kebal buntu.

Pemain Pahang merebut bola dari Rodoljub Paunovic (jersi putih) dalam perlawanan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Likas semalam. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada separuh masa kedua, Sabah akhirnya berjaya merapatkan jurang pada minit ke-53 melalui Aguinaldo yang membuat penyudahan dari jarak dekat untuk menewaskan Mohd Helmi.

Gol tersebut dihasilkan menerusi hantaran Azizan ke dalam kotak penalti yang berjaya ditanduk ke bawah oleh Alto menuju kepada Paunovic yang terjatuh akibat pertembungan dengan pertahanan Pahang namun bola itu sampai kepada Aguinaldo yang tidak dikawal untuk menjadikan kedudukan 1-2.

Masuk sejam perlawanan, ketua jurulatih Sabah Jelius Ating mula membuat percaturan dengan membawa masuk Rahman Shah menggantikan Aguinaldo, Mafry Balang untuk Jenius Karib dan juga Maxius Musa untuk Ricco Nigel Milus.

Percaturan tersebut hampir berhasil pada minit ke-76 apabila Rahman Shah, melihat penjaga gawang Pahang sudah meluru keluar, cuba membuat hantaran lob ke arah pintu gol yang ternganga, namun melencong ke sebelah kanan.

Alto Linus (jersi no.11) mengawal bola untuk melepasi pemain Pahang. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada minit-minit akhir perlawanan, Sabah mendapat peluang lagi melalui tendangan percuma yang diambil oleh Paunovic dan Azizan tetapi berjaya diselamatkan oleh Mohd Helmi.

Keputusan malam tadi menyaksikan Sabah masih lagi belum mendapat sebarang mata setelah pusingan pertama saingan peringkat kumpulan selesai.

Pusingan kedua akan bermula pada 24 Ogos dengan Sabah bertandang ke Stadium Darul Makmur menentang Pahang sebelum mengakhirkan kempen Piala Malaysia dengan dua perlawanan di gelanggang sendiri melawan Pulau Pinang dan Perak.-SabahNewsToday