Pilih Bahasa

TAMBADAU TEWAS PERLAWANAN PEMBUKA TIRAI MUSIM 2019

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Pemain Sabah meraikan jaringan Luka Milunovic mint ke-13 dalam perlawanan Sabah menentang JDT II di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ehsan Safa

KOTA KINABALU: Sabah gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Johor Darul Takzim II (JDT II) dalam aksi Liga Perdana yang membuka tirai malam ini di Stadium LIkas Kota Kinabalu.

Tuan rumah terdahulu membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi pemain import, Luka Milunovic yang berjaya menolak masuk bola lorongan Taesu Park yang mengambil peluang hasil kesilapan pertahanan JDT II.

Sabah yang tampak memiliki kelebihan dalam perlawanan itu apatahlagi dengan semangat Tambadau yang dibawa ke padang, memiliki beberapa peluang menambahkan jaringan.

Perlawanan Sabah dengan JDT II di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang berkesudahan 1-2. – Gambar SNT/Ehsan Safa

Bagaimanapun gandingan import Milunovic dan Rodoljub Paunovi gagal menyerlah selepas tiada gol tambahan dihasilkan untuk memberikan kelebihan buat skuad Sabah.

Keputusan 1-0 kekal pada separuh masa pertama, namun memasuki babak kedua jentera serangan pasukan pelawat mula mengandakan asakan ke kubu pasukan Sabah.

Skuad kendalian Jelius Ating hanya mampu mempertahankan gawang mereka 18 minit selepas babak kedua bermula setelah Mohamad Ghaddar memadamkan kelebihan gol awal Sabah dengan jaringan penyamaan pada mint ke-63.

Aksi pasukan Sabah (jersi putih) dengan JDT II di Stadium Likas, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ehsan Safa

Gol penyerang JDT II itu menjadikan kedudukan kedua-dua pasukan 1-1.

Perlawanan semakin rancak apabila kedua pasukan itu saling melakukan serangan balas untuk menghasilkan gol tambahan.

Hasilnya bekas pemain Sabah, Md Rozaimi Abd Rahman berjaya memecahkan kebuntuan apabila muncul wira JDT II dengan jaringan pada minit ke-83.

Gol berkenaan mengesahkan kemenangan JDT II sehingga tamat perlawanan.

Sabah bakal berkunjung ke Kelantan pada 8 Februari ini bagi perlawnaan ke Liga Perdana. – SabahNewsToday