Pilih Bahasa

Tambadau tumbang 2-0 kepada Tok Gajah

KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Super 2019, Pahang meraih kemenangan sulung selepas tiga perlawanan setelah menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Tok Gajah naik tiga anak tangga ke kedudukan ketujuh carta Liga Super.

Ivan Carlos meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan setelah menolak masuk hantaran silang pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh pada minit ke-21, sebelum Herold Goulon menggandakan kedudukan untuk tuan rumah setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50.

Sementara itu, juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan rekod kemenangan kepada tiga perlawanan selepas menang tipis 1-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Kemenangan ketiga berturut-turut itu menyaksikan skuad Harimau Selatan memintas sementara kedudukan pendahulu, Melaka dengan kutipan sembilan mata.

Penyerang import dari Brazil, Diogo Luis Santo menjaringkan gol tunggal perlawanan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84.-SabahNewsToday