Pilih Bahasa

Tamu Ahad Sabindo lokasi baharu peniaga, 704 tapak disediakan MPT

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Amrullah (dua dari kiri) semasa melawat peniaga Tamu Ahad Sabindo. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Peniaga Tamu Takada, Jalan Kuhara kini berpindah lokasi di Tamu Ahad Sabindo, Jalan Habib Sheikh, berkuatkuasa hari ini. 

Lokasi sepanjang 800 meter itu boleh menampung 704 tapak niaga berbanding sebelumnya hanya boleh menampung 311 tapak di lokasi lama. 

Presiden MPT, Datuk Ir Amrullah Kamal berkata lokasi berkenaan dilihat lebih strategik dan mampu menjadi tarikan baharu di daerah ini.

“Kita mahu Tawau jadi satu destinasi yang digemari orang ramai termasuk individu dari daerah atau negara luar yang berkunjung ke sini. 

“Kita berharap mereka datang ke sini dan berbelanja serta memberi keuntungan yang baik kepada peniaga,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong, Datuk Jimmy Wong (dua dari kiri) dan Amrullah (tiga dari kiri) merasmikan Tapak Tamu Ahad Sabindo. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Tapak Tamu Ahad Sabindo, di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai teguran yang diterima oleh pihak MPT ketika berada di tapak Tamu Takada sehingga pihaknya mengambil langkah dengan mencari lokasi baharu kepada peniaga. 

Katanya urusan berhubung perpindahan ini juga tidak membabitkan kontraktor luar malah ia diurus tadbir oleh MPT sendiri. 

“Kali ini hanya ada 704 tapak namun jika mendapat permintaan yang menggalakkan, kita akan buka lagi tapak. Sebelum itu, kita kena buat perbincangan terlebih dahulu.

Suasana di Tamu Takada masih sibuk dengan pengunjung mesikpun berpindah di Tamu Ahad Sabindo, Jalan Habib Sheikh. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Kita juga tidak melantik kontraktor lain kerana kita tahu MPT kekurangan daripada segi kewangan dimana bajet MPT tahun ini dan tahun hadapan adalah negatif. 

“Oleh kerana itu kita usaha supaya dapat mengurus sendiri. Dengan cara itu kita dapat keuntungan untuk memastikan hutang dan tunggakan MPT dapat diselesaikan,” jelasnya.

Berhubung dengan kebersihan, beliau menegaskan kepada peniaga supaya menghayati slogan Sayangi Bandar Tawau dengan memastikan kawasan berkenaan bebas sampah.

Sebahagian pengunjung yang tidak melepaskan peluang berkunjung ke Tamu Takada. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau turut melancarkan Operasi Payung dimana penguatkuasa akan sentiasa memastikan peniaga tapak tamu baharu itu mengutamakan kebersihan. 

Tambahnya, tindakan tegas juga akan diambil kepada peniaga yang ingkar dalam menjaga kebersihan kawasan terbabit. 

“Kamera litar tertutup (CCTV) akan di pasang di kawasan ini. Jika ada didapati tidak menjaga kebersihan, tindakan akan diambil oleh pihak kami termasuk tidak boleh menjalankan urus niaga di tapak berkenaan,” katanya. – SabahNewsToday