Pilih Bahasa

Tamu mingguan Kampung Kiau mampu promosi eko-pelancongan luar bandar

Oleh Alfred Petrus

KOTA BELUD: Pewujudan tamu mingguan di Kampung Kiau mampu mempromosikan eko-pelancongan luar bandar dan hasil-hasil produk tempatan di kawasan berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata cadangan penduduk kampung berkenaan dilihat sebagai satu usaha merancakkan lagi ekonomi setempat.

Ewon (tiga kanan) bersama para pemimpin dan penduduk kampung meninjau kawasan tapak yang dicadangkan untuk Tamu Komuniti Kampung Kiau. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Suatu masa yang lalu, memang ada tamu di Kampung Kiau. Pada hari ini, saya menerima baik cadangan dan hasrat komuniti di mukim ini supaya Tamu Kiau dihidupkan semula seperti di beberapa mukim lain di Kota Belud.

“Oleh itu, saya mahu Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) di mukim ini memgadakan satu perbincangan khas dengan semua Ketua Kampung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kg Kiau Taburi, Kg Kiau Nuluh dan Kg Kiau Bersatu bersama-sama dengan Persatuan Kebudayaan Kiau, Persatuan Pelancongan Kiau, Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memperakukan tapak yang telah dicadangkan untuk tamu tersebut,” katanya.

Ewon (tengah) bersama semua ibu bapa yang hadir untuk menyempurnakan pemotongan kek sempena sambutan Kaamatan, Raya, Hari Guru dan Hari Ibu Bapa. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mempunyai peruntukan berkaitan Program Keusahawanan Desa yang boleh digunakan untuk memperkasakan pusat-pusat tamu di luar bandar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Kaamatan Raya, Hari Guru dan Hari Ibu Bapa anjuran Gabungan MPKK Kiau dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Kiau, Persatuan Kebudayaan Kiau, Persatuan Alumni SK Kiau, Gompito, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan PIBG SK Kiau, di dewan sekolah itu, pada Sabtu.

Ewon (dua kiri) menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada jawatankuasa penganjur Kiau Nature Run. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya ingin melihat program keusahawanan desa di Sabah dapat diperkasakan melalui pembinaan lebih banyak tamu komuniti.

“Apapun, saya percaya komuniti itu sendiri adalah yang terbaik mengurus tamu-tamu sedemikian melalui MPKK, manakala agensi dan jabatan kerajaan membantu dari segi infrastruktur dan pengisian berkaitan.

“Di Kampung Kiau, ianya sudah sinonim dengan aktiviti pelancongan dan hasil pertanian organik,” jelasnya.

Ewon (dua kiri) menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Kundayis untuk Persatuan Kebudayaan Kiau. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Dalam pada itu, beliau mahu melihat potensi ekonomi berkenaan dikembangkan bermula dengan pembinaan tamu komuniti sebagai pusat aktiviti ekonomi yang mana bukan hanya komuniti setempat yang boleh berkunjung tetapi juga para pelancong. -SabahNewsToday

-Tamat