Pilih Bahasa

Tanaman lada hitam dipertimbang dalam Program Aktiviti Ekonomi Tambahan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Ewon(tengah) menunjukkan produk lada hitam yang diusahakan oleh Dennison (tiga dari kiri). – Gambar SNT / Ehsan KPLB

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan mempertimbangkan kemungkinan akan memasukkan penanaman lada hitam sebagai Program Aktiviti Ekonomi Tambahan di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung-Kampung Sejahtera.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata ia bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar secara mapan disamping menikmati peningkatan kualiti hidup golongan sasar.

“Saya menyokong inisiatif yang diambil oleh pihak Persatuan Penanam Lada Hitam Sabah (PLAS) untuk memperkasakan industri hiliran bagi mengeluarkan produk berasaskan lada hitam.

Ahli Persatuan Penanam Lada Hitam Sabah (PLAS) mengadakan berbincangan dengan Ewon (tengah) dalam kunjungan hormat ke atas beliau, semalam. – Gambar SNT / Ehsan KPLB

“Perkara itu kami bincangkan semasa kunjungan hormat PLAS yang diketuai oleh Presiden, Dennison Indang, di sini,” katanya yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lada Malaysia.

Kunjungan hormat tersebut bertujuan memaklumkan isu, cabaran dan syor daripada komuniti penanam dan pengusaha lada hitam Sabah kepada perhatian kerajaan.

Dalam kunjungan hormat itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan peruntukan touchpoints menteri sebanyak RM10,000 sebagai sokongan kepada usaha persatuan memperluaskan penanaman lada hitam di Sabah.

Dalam pada itu, beliau juga bersetuju dengan cadangan mewujudkan aktiviti keusahawanan desa di bawah KPLB bermula pada tahun hadapan.

Kunjungan itu disertai Timbalan Presiden PLAS Reggi Walter, Zita Bolingkong (Setiausaha), Benjamin Yanggau (Timbalan Setiausaha), Janus Tioon dan Deni Rining.

Sementara itu Janus yang juga Pengerusi PLAS Cawangan Kota Belud berkata antara cadangan MESEJ Mikro Tanaman Lada Hitam ialah pembangunan tanah peserta secara berkelompok seluas 12 hektar (minima) dengan bilangan peserta 15 orang dengan setiap peserta mengusahakan kebun lada hitam seluas setengah hektar atau anggaran 1,000 pokok.

Beliau berkata pembangunan kawasan penempatan seluas 10 ekar meliputi rumah peserta, kemudahan asas dan ameniti sosial, mini kilang pemprosesan lada hitam dan kegiatan ekonomi sampingan.

“Antara kawasan-kawasan cadangan PLAS untuk penanaman lada hitam ialah di Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Ranau, Tambunan dan Penampang,” katanya,” katanya. – SabahNewsToday