Pilih Bahasa

TANGANI ISU KELDAI DADAH, JSJN MAHU KERJASAMA DENGAN SYARIKAT PENERBANGAN

Oleh Mohd Adam Arinin

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh pada sidang media di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia akan berbincang dengan syarikat penerbangan bagi menangani kes penyeludupan dadah ke luar negara melalui udara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata penyeludupan dadah membabitkan rakyat negara ini ke luar negara khususnya di rantau Asia Pasifik kebanyakannya terdiri dikalangan remaja dan kakitangan syarikat penerbangan.

“Isu keldai dadah bukan hanya terdiri dari golongan remaja yang inginkan pendapatan lumayan dan cepat tetapi ia juga terdiri daripada kakitangan syarikat penerbangan itu sendiri seperti dalam beberapa laporan mengenai tangkapan rakyat Malaysia di luar negara yang merupakan kakitangan sesebuah syarikat penerbangan seperti insiden di Indonesia dan Australia.

“Secara peribadi bagi saya ini menimbulkan sedikit kegusaran kerana ia menggambarkan imej negara seolah-oleh kita tiada undang-undang tegas yang boleh diambil kepada mereka yang terbabit dalam penyeledupan dadah ini,” katanya selepas hadir merasmikan Majlis Penutupan Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisian (PLAK) Konstabel di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh (kanan) berbual bersama tiga pelatih terbaik Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bil 12 Siri 6/2018 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media antarabangsa berhubung lapan warga Malaysia yang ditahan dan didakwa atas beberapa tuduhan cuba menyeludup dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai KRW44 bilion Won atau RM161.87 Juta ke Korea Selatan, kelmarin.

Jelas Mohmad, pihaknya mempunyai dua kaedah bagi menangani dan mengawal lebih ramai warga negara ini daripada dicekup di luar negara atas kesalahan penyeludupan dadah.

“JSJN Bukit Aman kini sedang berusaha untuk bekerjasama dengan pihak syarikat penerbangan untuk bagaimana kita melalui kedua-dua pihak ini boleh mengatasi isu keldai dadah kerana ia bukan setakat menjejaskan imej negara malah syarikat penerbangan itu sendiri.

“Keduanya, kita akan memperkuatkan jalinan kerjasama sedia ada diantara kita dengan agensi dadah antarabangsa seperti DEA (Drug Enforcement Administration) di Amerika Syarikat, Australia Federal Police dan agensi sama di Singapura,” tambahnya.

Ketika ditanya cabaran dadah baharu di Sabah, Mohmad berkata Sabah kini belum terkesan dengan penggunaan dadah sintetik baharu Ampetamine Type Stimulate (ATS).

“Dadah jenis ini boleh didapati dalam bentuk serbuk dan kapsul pelbagai warna dan banyak digunakan di pusat hiburan dan parti persendirian yang dibuat oleh beberapa golongan di kondominium mewah di ibu kota.

“Dadah ini banyak dihasilkan di utara negara Asia dan tidak memerlukan bahan tanaman seperti dadah jenis kokain dan ganja dan hanya memerlukan bahan kimia untuk penghasilannya.

“Justeru, cara pembuatan dadah jenis ini hanya memerlukan bahan kimia tertentu yang boleh diperolehi dengan mudah untuk menghasilkannya.” katanya.- SabahNewsToday