Pilih Bahasa

Tanggungjawab YB selesaikan masalah rakyat: Ewon Benedecit

KOTA BELUD: Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick memulakan kempen pada hari ini di kampung halamannya, di Kampung Kiau.

Penyandang DUN Kadamaian itu yang juga Naib Presiden Upko mengadakan perjumpaan bersama penduduk kampung di Kampung Kiau Taburi, Kiau Nuluh dan Kiau Bersatu sebelum meneruskan jelajah kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kaung iaitu di Kampupng Kaung Ulu dan Lobong-Lobong.

Ewon ketika berucap pada Program Santai Bersama penduduk kampung di Kampung Kiau Bersatu. – Gambar SNT/Ihsan Upko

Di Kiau Taburi, Ewon bersama pemimpin Warisan, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnahraissah Munirah Majilis dan mantan wakil rakyat Kadamaian, Datuk Yapin Gimpoton mengadakan perjumpaan dengan para pengundi kawasan itu.

Dalam program di Kiau Nuluh, Ewon menyerahkan kunci van untuk kegunaan Koonduan Kiau Nuluh Enterprise (KKNE) yang diluluskan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa lawatan ke kampung itu pada Disember 2018.

Kenderaan untuk kegunaan usahawan wanita Kampung Kiau Nuluh. – Gambar SNT/Ihsan Upko

Semasa Pelancaran Pusat Pemprosesan Jem & Chutney Nenas Kampung Kiau Nuluh pada Disember 2018, Shafie meluluskan permintaan Pengerusi Persatuan Koonduan Kiau Nuluh Florence Duaneh yang mahukan sebuah kenderaan bagi membolehkan produk pengusaha nanas di situ dibawa ke pasaran.

Ketika berucap, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu memberi penjelasan pelbagai isu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang serta berkongsi aspirasi dan manifestonya pada pilihan raya negeri Sabah kali ini.

Ewon menunjukkan buku Pelan Induk Pembangunan Kadamaian kepada penduduk kampung di Kampung Kaung iaitu manifestonya pada pilihan raya ini. – Gambar SNT/Ihsan Upko

“Manifesto saya hanya satu, iaitu menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang merangkumi semua keperluan rakyat Kadamaian di 74 buah kampung.

“Tanggungjawab utama seorang wakil rakyat ialah menyelesaikan masalah yang ada didepan mata seperti keperluan dan pembangunan rakyat di kawasan yang diwakili,” katanya. – SabahNewsToday