Pilih Bahasa

Tangisan bongkar rahsia datuk rogol cucu

Oleh Junaidi Ladjana

Habibi Majinji. – Gambar Fail SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Tangisan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun membongkar rahsia seorang lelaki warga emas yang menjadikan cucunya itu sebagai pemuas nafsunya.

Lelaki berusia 66 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sejak mangsa berusia sembilan tahun.

Suspek ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di rumah suspek di sebuah kampung di Manggatal di sini, pukul 2 petang tadi untuk siasatan lanjut selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ibu mangsa pelik melihat anaknya menangis di dalam bilik pada pukul 7 malam pada 28 Januari lalu.

“Ibu mangsa kemudian bertanya berulang kali menyebabkan mangsa menceritakan dia dirogol oleh datuknya pada pagi 26 Januari lalu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa mendakwa pernah dirogol beberapa kali oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata suspek dipercayai merogol mangsa di rumahnya ketika ibu bapa mangsa keluar bekerja.

Menurut beliau lagi mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk pemeriksaan.

Habibi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram. – SabahNewsToday