Pilih Bahasa

Tapak lapangan terbang antarabangsa baharu dicadang di Kinarut

PAPAR, 26 Nov — Cadangan membina lapangan terbang antarabangsa yang baharu di daerah ini, merupakan langkah yang diambil untuk memenuhi pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada masa ini, mencecah 9 juta dan menghampiri kapasiti minumum 9.5 juta penumpang.

Mohd Shafie menunjukkan Laporan Tahunan Sedia bagi 2018. Gambar Bernama

Dalam masa akan datang, KKIA tidak mencukupi dari segi penumpang yang datang khususnya membabitkan pelancong.

“Kemudahan ini (lapangan terbang) tidak mencukupi dengan kehadiran penumpang yang semakin ramai pada masa hadapan dan bila ia berlaku, kita ada persediaan sekarang untuk membolehkan kemudahan ini ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Hari Terbuka Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di Presint Agro Perindustrian Sabah (SAIP) dekat sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata cadangan itu merupakan langkah kerajaan negeri untuk menyuburkan sektor pelancongan, yang menjana ekonomi negara termasuk negeri Sabah.

Katanya sektor ini juga penting dalam menjana pendapatan penduduk setempat, yang terdapat kawasan tarikan pelancongan.

Beliau berkata kawasan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu itu telah dikenal pasti di kawasan Kinarut, berkeluasan 1,618 hektar.

Katanya lapangan terbang antarabangsa baharu itu tidak dibina di kawasan Kimanis, disebabkan ia memerlukan perbelanjaan yang banyak dari segi pengambilan tanah dan selain tanah dari jenis gambut.

Beliau berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan Malaysia Airport Berhad dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, berhubung cadangan itu.

Menurutnya cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di kawasan Papar itu, sudah tentu akan melonjakkan pembangunan di daerah itu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata pembangunan di kawasan Tanjung Aru akan dapat direalisasikan selepas sebuah syarikat dari China menyatakan persetujuan, melabur di kawasan itu, di samping beberapa syarikat lain.

Katanya kerangka pelan tindakan adalah pelaburan itu yang membabitkan 30 peratus kawasan tersebut, manakala 70 peratus lagi peringkat kerajaan negeri.

— BERNAMA