Pilih Bahasa

TAPAK SKUBA ‘BLUE HOLE’ DITEMUI DAHULU OLEH PIRATE DIVERS DUA TAHUN LALU

Oleh Alfred Petrus

LAHAD DATU: Tapak selaman baharu yang dikatakan ditemui pada 14 Februari lalu oleh sekumpulan penyelam termasuk penyelidik dari Taman-Taman Sabah (TTS) sebenarnya telah diterokai lebih dahulu oleh pengusaha pusat selaman tempatan.

Tapak selaman skuba yang dinamakan ‘Blue Hole’ atau Lubang Biru di Terumbu Tingkayu, Teluk Darvel Lahad Datu itu ditemui oleh Pengusaha Pirate Divers Glen Hapirulla bersama pasukannya pada dua tahun lalu.

Glen ketika membuat selaman di Blue Ring Reef. Gambar SNT/Ihsan Pirate Divers

Pada Ahad, Sabah News Today turut melaporkan berkenaan penemuan Blue Hole dan direkodkan pada 14 Februari lalu oleh sekumpulan penyelam skuba termasuk penyelidik dari TTS yang menyertai Ekspedisi Saintifik bagi mengumpul data sumber marin di Teluk Darvel.

Penemuan itu dilihat mampu menjadi tarikan terbaharu untuk dijadikan tapak pelancongan dunia.

Glen berkata ketika ekspedisi itu, TTS ada menjemputnya untuk menyertai eksplorasi itu namun, ketika itu beliau tidak berada di Lahad Datu.

Glen menunjukkan tempat menyelam menarik yang ditemuinya di Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan Pirate Divers

Laporan berita tersebut menarik perhatian beberapa pihak yang pernah bekerjasama dengan Pirate Divers dalam meneroka tapak selaman baharu bagi mempromosikan Lahad Datu sebagai destinasi pelancongan terutama kepada penyelam skuba.

Sehingga kini, Glen yang merupakan anak tempatan Lahad Datu ini sudah meneroka 55 tapak selaman skuba di perairan Silam sejak 2009.

Katanya tapak yang dinamakannya sebagai Blue Ring Reef itu tidak memenuhi kriteria sebagai ‘Blue Hole’.

Blue Hole biasanya berbentuk bulat dengan dinding yang curam dan memperlihatkan perbezaan warna antara biru gelap dan terang bagi membezakan kedalaman dan kecetekan air.

“Blue Hole tidak bersambung dan setiap satu menunjukkan saiz lubang yang berbeza.

“Sejak penemuan Blue Ring Reef itu, saya sering membawa penyelam skuba untuk menyelam di tapak selaman itu.

“Saya membahagikan tapak selaman itu kepada tiga iaitu Blue Ring Reef Hole 1, Blue Ring Reed Hole 2 dan Outer Ring of Blue Ring Reef,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya video eksplorasi penemuan Blue Ring Reef berkenaan boleh dilihat melalui laman Facebook Kent Chen (https://www.facebook.com/kent.chen.54966/videos/10154884260107237/). -SabahNewsToday