Pilih Bahasa

TAPAK TAMU TAKADA MASIH BEROPERASI SEPERTI BIASA-ALIJUS

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seramai 610 peniaga di Pasar Tamu Mingguan dan Pasar Malam atau dikenali sebagai Tapak Tamu Takada, di daerah ini masih berpeluang menjalankan perniagaan seperti biasa sementara menunggu keputusan kajian yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Tawau(MPT) untuk proses pemindahan di tempat baharu.

Presiden MPT, Alijus Sipil berkata pihaknya hanya akan menamatkan kontrak syarikat konsesi yang sebelum ini mentadbir urus tapak berkenaan yang berakhir pada 2 Mac dan diambil alih semula oleh pihak MPT.

Alijus (tengah) selepas sidang media di Bilik Gerakan Majlis Perbandaran Tawau. Gambar SNT/ Nasrawati Syarifuddin

Katanya spekulasi berhubung tapak takada yang sudah beroperasi sejak 30 tahun itu akan ditutup adalah tidak benar dan peniaga masih dibenarkan menjalankan urusan perniagaan di tapak tersebut.

“Tapak Tamu Takada itu masih beroperasi seperti biasa sehingga pihak pengurusan MPT mengambil keputusan untuk mengarahkan peniaga berpindah ke lokasi baharu yang masih dalam kajian.

“Cuma perbezaannya adalah pengendaliannya akan diambil alih oleh MPT dan saya tidak mahu ada lagi persoalan yang timbul mengatakan bahawa tapak tamu itu sudah tidak beroperasi pada 3 Mac nanti,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan, MPT, hari ini.

Alijus berkata pihaknya juga akan menjalankan kajian secara lebih terperinci berhubung beberapa aduan yang diterima dimana terdapat peniaga yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah turut berniaga di tapak berkenaan.

“Sebelum ini pihak syarikat konsesi sudah diberi amaran dimana syarikat berkenaan perlu mengutamakan kepada peniaga tempatan untuk berniaga di kawasan tersebut.

Tamu Takada. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Kita akan menjalankan kajian dan saya harap semua peniaga memberi maklumat diri yang sahih kepada pihak yang bertugas supaya memudahkan kami membuat tapisan,” katanya.

Menyentuh berkenaan tapak baharu yang akan disediakan pihak MPT kepada peniaga, beliau berkata, Tapak Sabindo yang terletak di tengah pusat Bandar Tawau adalah salah satu tapak alternatif yang masih dalam proses kajian.

“Ada beberapa kawasan lain yang masih dalam proses perbincangan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Ia perlu melalui fasa akhir dimana kita harus bertemu dengan pemilik kedai di kawasan Sabindo untuk meminta pandangan dan penjelasan berhubung tamu mingguan yang akan dijalankan di kawasan berkenaan,” katanya. –SabahNewsToday