Pilih Bahasa

TARAF KESIHATAN PENDUDUK PEDALAMAN PENTING: ADUN KEMABONG

Oleh Chris Maskilone

Jamawi memberi sumbangan kepada pesakit kurang upaya (OKU) semasa mengetuai rombongan Wiranita DUN Kemabong di Hospital Tenom, hari ini. Gambar SNT/Ehsan Mail Matthew

TENOM: Isu berhubung beberapa kekurangan bagi Klinik Kesihatan Kemabong dan Kuala Tomani telah dibincangkan dengan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Stephen Wong dan mendapat reaksi positif, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong, Jamawi Jaafar.

Malahan menteri terbabit telah menyedari kekurangan yang berlaku di kedua-dua klinik tersebut dan dalam masa yang sama beliau turut mencadangkan agar diwujudkan hospital daerah kecil Kemabong, katanya.

Jamawi berkata, setakat ini Klinik Kesihatan Kemabong mempunyai lima orang doktor yang walaupun ia hanya berstatus sebagai Klinik Kesihatan namun kemudahan perubatan sudah setaraf dengan hospital, cuma bezanya ia tidak mempunyai wad dan kemudahan lain seperti bilik Pengimejan.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Penyokong Kerajaan berkata demikian ketika ditemui pada Isnin semasa mengetuai rombongan Wiranita Parti Warisan DUN Kemabong melawat wad pesakit hospital Tenom sempena bulan Kemerdekaan dan Awal Muharram.

Jamawi melawat pesakit di wad Hemodialisis Hospital Tenom, hari ini. Gambar SNT/Ehsan Mail Matthew

Katanya, beliau akan lebih kerap memantau keadaan Klinik Kesihatan di Kuala Tomani, Paal, Enubai untuk membantu menyelesaikan masalah yang berada dalam bidang beliau, manakala masalah lain akan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan.

“Sebelum ini, bagi dua klinik kesihatan di sini terdapat beberapa keperluan mendesak yang boleh dibantu secara langsung dan kita telah pun sampaikan bantuan-bantuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, program ekspedisi (XPDC) ke Rundum baru-baru ini di mana beliau membawa satu rombongan termasuk 4 orang doktor perubatan dan 2 orang doktor pergigian telah memanfaatkan ramai penduduk kampung yang mendapat rawatan secara percuma.

“Kalau dahulu, mereka bergantung kepada khidmat doktor udara untuk mendapatkan rawatan secara percuma namun setelah ianya dihentikan sejak sekian lama sekarang mereka terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kemabong.

“Melihat keadaan ini, saya merasakan bahawa ia harus diambil perhatian kerana masalah perhubungan yang begitu jauh dan tambang kenderaan menjadi kekangan untuk penduduk datang ke Klinik Kesihatan Kemabong untuk mendapatkan rawatan.

“Perkara seperti ini yang melibatkan masalah rawatan kesihatan masyarakat luar bandar haruslah diambil perhatian serius. Saya akan bentangkan perkara ini pada persidangan DUN akan datang ini,” jelasnya.-SabahNewsToday